Home NegeriTerengganu tuan rumah Kejohanan Lawn Bowls Remaja Kebangsaan 2026

Terengganu tuan rumah Kejohanan Lawn Bowls Remaja Kebangsaan 2026

oleh suara timur

Oleh MUKHATAR A RAHMAN

KUALA TERENGGANU:  Terengganu sekali lagi diberi penghormatan menjadi tuan rumah Kejohanan Lawn Bowls Remaja U12, U18 dan U23 Kebangsaan 2026 yang akan berlangsung dari 29 Mei hingga 3 Jun ini di Arena Lawn Bowls, Kompleks Sukan Negeri Terengganu, di sini.

Sekretariat Kejohanan Lawn Bowls Remaja Kebangsaan 2026 Datuk Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak berkata kejohanan anjuran bersama Persekutuan Lawn Bowls Malaysia (PLBM) dan Persatuan Boling Padang Negeri Terengganu (PLBT) itu bakal menghimpunkan atlet muda terbaik dari seluruh negara.

Beliau berkata penganjuran kejohanan tersebut menjadi platform penting dalam usaha memperkasa pembangunan sukan lawn bowls di peringkat akar umbi selain mencungkil bakat baharu untuk diketengahkan sebagai pelapis mewakili negara pada masa hadapan.

banner

“Penganjuran kejohanan ini bukan sahaja menjadi medan mencungkil bakat baharu, malah turut menyemarakkan semangat kesukanan, disiplin serta perpaduan dalam kalangan generasi muda.

TUN AHMAD FAISAL TUN ABDUL RAZAK

“Selaras dengan aspirasi pembangunan atlet remaja negara, kejohanan ini membawa semangat melahirkan bakat yang mampu membina masa depan sukan lawn bowls negara ke arah lebih cemerlang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, sepanjang kejohanan berlangsung para peserta akan bersaing dalam pelbagai kategori umur menerusi acara pairs dan fours.

Katanya penyertaan dijangka melibatkan lebih 400 atlet berusia antara sembilan hingga 23 tahun selain jurulatih serta pegawai dari seluruh negara termasuk Kedah, Perak, Pahang, Selangor, Wilayah Persekutuan Labuan, Sabah, Perlis, Negeri Sembilan, Melaka, Kelantan, Sarawak, Johor dan Terengganu selaku tuan rumah.

Tun Ahmad Faisal berkata pihak penganjur yakin kejohanan berkenaan mampu menjadi medan terbaik bagi memperkukuh pembangunan sukan lawn bowls negara di samping mempromosikan Terengganu sebagai antara destinasi sukan utama negara.

Beliau turut mengajak orang ramai hadir memeriahkan kejohanan berprestij itu dan memberikan sokongan kepada atlet muda yang bertanding. – Suara Timur

Tinggalkan komen