Oleh IMAN HAIKAL
KUALA NERUS: Seramai 184 pelajar berusia 15 dan 16 tahun membabitkan 23 buah sekolah menengah di daerah Kuala Terengganu menyertai program Kem Aspirasi Remaja Madani: Rhaudah Kepimpinan, baru-baru ini.
Program selama dua hari yang diadakan di Kem Pengakap Tengku Muhammad Ismail di sini disifatkan sangat menarik dan unik.
Ia merupakan sebagai satu inisiatif ke arah pembangunan sahsiah dan juga kepimpinan.
Antara objektif utama pogram ini diadakan adalah untuk melahirkan pemimpin muda berwibawa serta berakhlak Islamik.

Selain itu, ia juga untuk meningkatkan kefahaman pelajar tentang kepimpinan dalam Islam di samping memupuk nilai tarbiah serta taqwa dalam kehidupan seharian, membina jati diri pelajar melalui aktiviti ibadah dan refleksi diri, seterusnya menggalakan pembentukan komuniti sukarelawan dalam kalangan pelajar bagi meneruskan amalan kepimpinan dan khidmat masyarakat di sekolah serta komuniti setempat.
Program ini dianjurkan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kuala Terengganu dengan kerjasama Kumpulan Penggerak Penglibatan Ibubapa, Komuniti dan Pihak Swasta (PIBKS) dan juga Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim).

Apa yang menarik pada program ini peserta tidur di ruang luas dewan dan bangun waktu malam untuk berqiamulail.
Turut ditekankan pengisian program ini ialah nilai nilai kepimpinan melibatkan aktiviti tadarus dan tadabbur Al-quran tazkirah, solat berjemaah, qiamulail serta pelaksanaan ibadah.

Majlis penutup disempurnakan oleh Pengarah Yadim Terengganu, Mahadi Awang.
Turut hadir ialah Pegawai PPD Terengganu Khairi Mohd Noor dan Pengerusi PIBKS Kuala Terengganu, Armi Irzan Mohd. – Suara Timur.