Home NegeriRumah, empat kenderaan musnah dalam kebakaran di Kampung Besut, Chukai

Rumah, empat kenderaan musnah dalam kebakaran di Kampung Besut, Chukai

oleh suara timur

KEMAMAN: Sebuah rumah musnah hampir 90 peratus dalam kebakaran di Kampung Besut, Chukai, dekat sini petang tadi, yang turut memusnahkan empat kenderaan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Chukai, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd Hanif Che Khalid berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 3.49 petang sebelum menggerakkan anggota dan aset ke lokasi yang terletak kira-kira dua kilometer dari balai.

Beliau berkata sebaik tiba lima minit kemudian, pasukan bomba membahagikan operasi pemadaman kepada dua sektor bagi mengawal kebakaran dengan menggunakan beberapa aliran hos serta pancutan air, termasuk bantuan sistem relay pumping daripada lori tangki.

SALAH sebuah kenderaan yang turut disambar api dalam kejadian sebuah rumah terbakar di Kampung Besut, Chukai, Kemaman, hari ini.

“Operasi turut dibantu anggota dari BBP Kemaman yang menggunakan satu aliran hos, cabang pembahagi dan dua pancutan air bagi mempercepatkan kerja-kerja pemadaman sehingga api berjaya dipadamkan sepenuhnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

banner

Mohd Hanif berkata seramai 17 anggota daripada BBP Chukai dan BBP Kemaman terlibat dalam operasi itu dengan kekuatan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT), sebuah Light Fire Rescue Tender (LFRT), sebuah lori tangki serta sebuah kenderaan utiliti Toyota Hilux.

Beliau berkata kebakaran turut memusnahkan sebuah van Nissan Vannette dan sebuah motosikal Redza Velocita 250 masing-masing kira-kira 90 peratus, selain sebuah MPV Naza Ria dan sebuah Proton Perdana yang mengalami kerosakan dianggarkan 50 peratus.

Katanya, kebakaran berjaya dikawal pada 4.39 petang sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada 6.08 petang.

“Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian itu dan punca kebakaran masih dalam siasatan,” katanya. – Suara Timur

Tinggalkan komen