KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri Terengganu mengisytiharkan Ahad ini sebagai cuti peristiwa di negeri berkenaan sempena Hari Raya Aidilfitri tahun ini.
Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, cuti peristiwa itu diberikan bagi membolehkan umat Islam di negeri ini memanfaatkan ruang tersebut untuk bersama keluarga tercinta.
“Kerajaan Negeri telah bersetuju untuk menjadikan hari Ahad, 30 Mac 2025 sebagai Hari Kelepasan Am (cuti peristiwa) sempena Aidilfitri 1446 Hijrah bersamaan 2025 Masihi.
“Manfaatkan ruang ini untuk bersama keluarga tercinta. Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf zahir dan batin,” katanya menerusi hantaran di Facebook miliknya, malam ini.
Pada 19 Mac lalu, Ahmad Samsuri dilaporkan berkata, kerajaan Terengganu sedang mempertimbangkan untuk memberikan cuti tambahan sehari bagi memudahkan rakyat negeri itu membuat perancangan sempena sambutan Aidilfitri tahun ini.
Menurutnya, beliau akan menghadap Sultan Terengganu bagi mendapatkan perkenan dalam tempoh terdekat. – Suara Timur