SHAH ALAM: Polis mengesahkan menerima laporan kejadian seorang murid Tahun Satu cedera dipukul dua murid Tahun Tiga yang berlaku di kantin Sekolah Seksyen 32 di sini dua hari lalu.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim, berkata pihaknya menerima satu laporan polis dibuat ibu mangsa pada jam 9.51 malam Rabu lalu.
Beliau berkata, dalam laporan itu menyebut mangsa dipukul ketika berada di kantin sekolah berkenaan kira-kira jam 3 petang, Rabu lalu.
“Mangsa kini di Hospital Shah Alam bagi menerima rawatan lanjut dan berada dalam keadaan stabil.
“Siasatan mendapati, murid berkenaan dipukul dua murid Tahun Tiga.
“Polis masih menyiasat punca kejadian dan kecederaan dialami mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dipenjara setahun dan denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali.
“Mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut mengenai kejadian boleh berhubung dengan pegawai penyiasat jenayah, Inspektor Nor Sabryna Mohammad Taha di talian 014-5130450,” katanya.
Terdahulu, tular di media sosial seorang murid lelaki Tahun Satu di sebuah sekolah di Seksyen 32, di sini, mendapatkan rawatan di hospital selepas dipercayai menjadi mangsa buli kepada tiga murid Tahun Tiga ketika waktu rehat, Rabu lalu.
Bapa mangsa mendakwa, anaknya yang diugut akan dicekik oleh jika melawan, dipijak berkali-kali di perut, dada dan kaki, selain mulutnya ditekup oleh pelaku. – Berita Harian