Oleh MUKHATAR A. RAHMAN
KEMAMAN: Pejabat Pendidikan Daerah Kemaman menyarankan lebih ramai masyarakat setempat termasuk pelajar terlibat dalam Program Kembara Merdeka di Terengganu selepas ini.
Pegawai Pendidikan Daerah Kemaman, Tengku Shahrir Tengku Dahlan berkata, program ini dapat menyemarakan rasa cinta kepada tanah air khususnya dalam kalangan pelajar dengan mengibarkan Jalur Gemilang di sekolah, rumah, tempat-tempat lain.
“Di mana kita pada hari ini, memijak bumi yang sama, bendera yang sama, seluruh rakyat perlu menyemarakkan lagi rasa cinta kepada tanah air,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Program Kembara Merdeka 2025 Peringkat Daerah Kemaman anjuran Jabatan Penerangan Malaysia di Dewan Serbaguna Felda Neram 1 di sini, semalam.
Hadir sama Pengarah Majlis Keselamatan Negara Negeri Terengganu, Wan Suhaini Wan Mohamad, Ketua Urusetia UMNO Dun Air Putih, Dr Mohd Zaki Salleh, Ketua Cabang PKR Kemaman, Ahmad Nazri Yusof dan Pengerusi Amanah Kemaman, Muzahar Hitam
Tengku Shahrir berkata, semangat kemerdekaan dan cintakan negara perlu disemai dalam diri setiap pelajar dari awal kerana ianya boleh membina jati diri mereka untuk lebih sayangkan negara.
“Saya juga meminta setiap individu saling mengenang segala jasa dan pengorbanan ditunjukkan semua pejuang kemerdekaan negara bagi memastikan keamanan negara sekarang.

Sebelum itu, Konvoi Kembara Jalur Gemilang, Jabatan Penerangan Negeri Terengganu tiba di lokasi terakhir di negeri Terengganu di Dewan Serbaguna, Felda Neram Satu, Kemaman.
Konvoi disertai kira-kira 60 kenderaan pelbagai agensi termasuk motosikal berkuasa tinggi diketuai Pengarah Jabatan Penerangan Negeri Terengganu, Said Yaman itu tiba pukul 3 petang dengan disambut meriah lebih 1,000 penduduk Felda berkenaan.
Turut memeriahkan kehadiran konvoi berkenaan ialah melibatkan penyertaan 68 buah pelbagai jenis motosikal penduduk sebagai gimik sempena sambutan kemerdekaan negara kali ke 68.
Selain itu sebanyak dua puluh buah basikal lama atau ‘basikal tua’ turut mengambil peluang dengan berarak di sepanjang jalan utama untuk menyambut kehadiran peserta konvoi berkenaan.
Pada program tersebut juga turut diadakan pameran dan pertandingan pakaian busana bertemakan kemerdekaan yang disertai oleh penduduk kategori dewasa dan kanak-kanak selain pertandingan sukan rakyat.
Kira-kira pukul 5 petang, peserta konvoi berkenaan kemudiannya meneruskan perjalanan ke Bulatan Jabor di sempadan Terengganu / Pahang bagi menyerahkan Jalur Gemilang kepada Jabatan Penerangan negeri Pahang untuk perjalanan seterusnya. – Suara Timur