Negeri

Hi-Tea Media Bersama UMT: Meraikan Pencapaian, Meneroka Masa Depan

KUALA NERUS: Universiti Malaysia Terengganu (UMT) telah mengadakan sesi Hi-Tea bersama rakan-rakan media sebagai tanda penghargaan atas sokongan berterusan dalam memperkukuh imej universiti di peringkat nasional dan antarabangsa. 

Dalam majlis santai itu, UMT turut berkongsi beberapa pencapaian utama dan inisiatif strategik semasa yang menjadi pemacu kecemerlangan universiti.

Naib Canselor UMT, Profesor Ir. Ts. Dr. Mohd Zamri Ibrahim semasa sesi ramah mesra berkata, antara pencapaian yang dibanggakan adalah peningkatan kedudukan UMT dalam QS World University Rankings 2026 yang kini berada dalam kelompok 801-850 berbanding kedudukan sebelumnya. 

“Kenaikan ini mencerminkan komitmen berterusan UMT terhadap kecemerlangan akademik, penyelidikan berkualiti dan impak global,” katanya.

Majlis santai itu turut dihadiri oleh Profesor Dr. Suriyani Muhamad, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Dr. Mohd Izani Mohd Zain, Timbalan Naib Canselor (HEPA), Profesor Ts. Dr. Mohd Fadzil bin Mohd Akhir, Pro Naib Canselor (Strategi, Prestasi dan Korporat) dan Zukiferee Ibrahim, Pengarah Pejabat Komunikasi Korporat.

Dalam aspek pengambilan pelajar, Mohd Zamri berkata, UMT turut mencatat peningkatan permohonan kemasukan bagi program program Asasi STEM dan Diploma Perikanan.

“Bagi sesi pengambilan 2025/2026, kita telah mencapai unjuran yang telah ditetapkan mengikut kapasiti yang mana peningkatan permohonan ini menunjukkan keyakinan pelajar dan ibu bapa terhadap program akademik yang ditawarkan serta reputasi UMT sebagai pusat pengajian tinggi yang unggul dalam bidang kelautan, sains dan teknologi,” ujarnya.

Selain itu, katanya, penambahbaikan dalam aspek tadbir urus dan daya saing akademik telah berjaya mencapai kemajuan fasa akhir dengan menubuhkan fakulti baharu, selaras dengan agenda transformasi institusi ke arah universiti berimpak tinggi.

Dalam melestarikan peranan sebagai universiti untuk masyarakat, Prof. Zamri berkata, pihaknya sedang melaksanakan Program Komuniti Madani di Kampung Menerong, Kuala Berang yang sedang berjalan sehingga penghujung tahun 2025. 

“Program bersifat universiti untuk masyarakat ini memberi tumpuan kepada pembangunan komuniti secara holistik merangkumi aspek pendidikan, sosioekonomi dan pemerkasaan wanita dan belia.

“Saya juga ingin mengambil peluang ini untuk mengumumkan majlis konvokesyen pada 26 hingga 29 Oktober 2025 yang mana acara berprestij untuk meraikan kejayaan para graduan yang telah berhempas pulas untuk menamatkan pengajian masing-masing,” ujarnya.

Pada masa sama, Mohd Zamri berkata, UMT merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada rakan media atas kerjasama dan sokongan berterusan dalam menyebarluaskan maklumat, kejayaan dan inisiatif universiti kepada masyarakat umum.  – Suara Timur

Related Posts