Negeri

Kes jenayah tipu dalam talian di Kemaman cecah RM2.8 juta

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN: Jumlah kerugian akibat jenayah penipuan dalam talian di daerah ini mencecah RM2.8 bagi tempoh Januari hingga Ogos tahun ini.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd. Razi Rosli berkata, jumlah kerugian tersebut membabitkan sebanyak 154 kes yang dilaporkan dalam tempoh tersebut.

Menurutnya, jenayah siber ini merangkumi pelbagai kategori termasuk telekomunikasi, e-kewangan, love scam, e-dagang, pelaburan dan pinjaman tidak wujud,” katanya.

“Jenayah telekomunikasi mencatat 88 kes dengan jumlah kerugian RM2,226,159.20, diikuti jenayah e-dagang 53 kes dengan kerugian RM359,642.53.

“Sebanyak 12 kes jenayah e-kewangan melibatkan kerugian RM251,248.20 dan jenayah love scam mencatat 1 kes dengan nilai RM4,000,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Suara Timur selepas merasmikan program penutup Latihan Dalam Perkhidmatan (LDP) – Botman Siri 2 / 2025 Peringkat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman di Pantai Bukit Kuang, Jalam Zon Maritim Kemaman di sini malam tadi.

Mohd. Razi memberitahu, kesemua kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Dalam pada itu, mengenai kes buli atau bergaduh dikalangan pelajar sekolah, beliau berkata, polis menasihatkan pelajar supaya fokus kepada pelajaran dan tidak terikut-ikut dengan budaya gengsterisme akibat terpengaruh daripada media sosial.

Jelasnya, pengaruh media sosial ini banyak menjerumuskan pelajar pelajar kita ke arah budaya buli dan jenayah seksual.

“Pihak polis akan sentiasa berkerjasama dengan kementerian pendidikan untuk memberi penerangan, ceramah kepada pelajar pelajar di samping membantu pihak pendidikan dalam menangani masalah budaya gengsterisme.

“Kita akan berusaha bersama Pejabat Pendidikan Daerah Kemaman bagi menjalankan aktiviti aktiviti bagi membendung budaya gengsterisme yang semakin berleluasa berlaku di sekolah sekolah,” ujarnya. – Suara Timur

Related Posts