KUALA TERENGGANU: Seorang remaja lelaki maut manakala dua lagi individu cedera dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta dan van di Jalan Losong Feri, dekat Kampung Losong Panglima Perang, di sini, petang tadi.
Dalam kejadian jam 3.36 petang itu, mangsa dikenali sebagai Wah Han Keong, 18, yang juga penumpang hadapan van jenis Nissan Vanette.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ,Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, ketika kejadian Volkswagen Golf GTI dipandu lelaki berusia 43 tahun dalam perjalanan dari arah bandar Kuala Terengganu menghala ke Muzium Losong, di sini.
Manakala, van jenis Nissan Vanette dipandu lelaki berusia, 49, pula dari arah Taman Manir, di sini menghala ke bandar Kuala Terengganu.
”Setiba di lokasi kejadian, kereta yang dinaiki satu keluarga itu dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas.
”Kenderaan itu kemudian melanggar tiang lampu jalan di tengah jalan sebelum memasuki laluan bertentangan lalu merempuh van berkenaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Azli berkata, akibat rempuhan kuat, tiang lampu terbabit turut tumbang dan mengenai van berkenaan.
Beliau berkata, kejadian itu mengakibatkan Wah Han Keong yang juga anak kepada pemandu van berkenaan mengalami kecederaan parah sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
”Selain mangsa yang maut, seorang kanak-kanak berusia lapan tahun iaitu anak pemandu kereta, Muhammad Aisy Asrizal Hisyam yang duduk di tempat duduk penumpang hadapan mengalami kecederaan ringan di kaki.
”Pemandu van, Wah Tee Tun, turut mengalami kecederaan ringan di tangan,” katanya.
Beliau berkata, pemandu kereta serta beberapa lagi penumpang lain termasuk isteri berusia 32 tahun dan dua lagi anaknya berusia 11 dan satu tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.
Katanya, mayat mangsa dihantar ke hospital untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – Metro
