Home Negeri80 pelajar asnaf, anak yatim terima sumbangan pada Majlis Semarak Kasih Ramadan TOGC

80 pelajar asnaf, anak yatim terima sumbangan pada Majlis Semarak Kasih Ramadan TOGC

oleh suara timur

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN: Seramai 80 pelajar asnaf dan anak yatim diraikan pada Majlis Semarak Kasih Ramadan Terengganu Oil & Gas Council (TOGC) 2026 dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah Kemaman di Dewan MJ Event Space, Kawasan Perindustrian Jakar 2, di sini, malam tadi.

Ketua Pegawai Pendidikan Daerah Kemaman Tengku Shahrir Tengku Dahlan berkata, Ramadan bukan sekadar bulan menahan lapar dan dahaga, sebaliknya menjadi medan tarbiah yang mendidik masyarakat supaya lebih peka terhadap kesusahan golongan kurang bernasib baik.

Beliau berkata, usaha menyantuni golongan asnaf dan anak yatim bukan sahaja membantu mereka yang memerlukan, malah mendidik masyarakat untuk sentiasa bersyukur serta memahami bahawa setiap rezeki yang dimiliki turut mempunyai hak golongan lain.

banner

“Institusi pendidikan bukan sekadar tempat menyampaikan ilmu akademik, sebaliknya berperanan sebagai pusat pembentukan sahsiah, pembangunan nilai dan pembinaan masyarakat yang seimbang,” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan.

TENGKU AMRAN Tengku Awang (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan kepada salah seorang pelajar Majlis Semarak Kasih Ramadan Terengganu Oil & Gas Council (TOGC) 2026 di Kemaman, malam tadi. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN

Turut hadir Penasihat TOGC, Roslin Abd Rahman, Pengerusi TOGC, Tengku Amran Tengku Awang, Timbalan Rektor (Akademik dan Pengantarabangsaan) Universiti College TATI (UC TATI), Ts Dr Mohd Najib Muhamed.

Majlis itu melibatkan pelajar dari tujuh sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Binjai, SK Pusat, SK Bukit Mentok, SK Sultan Ismail, SK Sri Iman, SK Cheneh Baru 2 dan SK Cheneh Baru, selain 20 penerima daripada Pertubuhan CAKNA Kemaman.

Menurut Tengku Shahrir, penganjuran program berkenaan bertujuan mengeratkan hubungan antara institusi pendidikan dan rakan strategik, di samping menyemai budaya prihatin serta memperkukuh kerjasama dengan pemain industri, agensi kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Beliau berkata, kerjasama strategik antara institusi pendidikan dan industri penting dalam memperluas peluang pembangunan pelajar serta memperkukuh pelaksanaan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang memberi manfaat kepada komuniti.

“Dalam landskap pembangunan semasa, kerjasama strategik bukan lagi satu pilihan tetapi keperluan bagi memastikan pembangunan insan dapat dilaksanakan secara menyeluruh, merangkumi aspek pendidikan, ekonomi dan sosial,” katanya. – Suara Timur

Tinggalkan komen