Negeri

‘Salah di sisi syarak ambil semula tanah rakyat’ – Khairuddin Aman Razali

DUNGUN – Cadangan kerajaan negeri untuk mengambil semula tanah pertanian Projek Kelapa Pandan diusahakan hampir dua dekad di Kampung Tebing Tembah di sini untuk dijadikan Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) tapak perumahan disifatkan bercanggah dengan hukum syarak.

Penasihat Agama kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, tanah seluas 40 hektar itu telah diusahakan selama lebih 18 tahun oleh 96 peserta dengan pengetahuan serta sokongan kerajaan melalui Jabatan Pertanian.

Katanya, beliau mendapati tanah tersebut dibangunkan sepenuhnya oleh penduduk dengan hasil titik peluh mereka, bukan sekadar nama atas kertas seperti didakwa.

“Tanah ini milik mereka pada sisi hukum syarak kerana mereka telah usahakan, mendapat hasil, dan melakukannya dengan pengetahuan serta bantuan kerajaan.

SSEBAHAGIAN daripada tanaman kelapa pandan yang telah mengeluarkan hasil.

“Adalah salah untuk kerajaan mengambil semula tanah yang telah diusahakan oleh 96 orang hanya semata-mata untuk diagihkan kepada 600 penduduk lain.

“Itu zalim dan bercanggah dengan ajaran Islam,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melawat lokasi tanaman itu, di sini, pada petang Khamis.

Menurut Khairuddin, kerajaan negeri perlu mencari lokasi lain yang belum diusahakan jika mahu membuka projek RTB baharu dan bukan merampas hak mereka yang telah berbakti kepada tanah tersebut sejak sekian lama.

“Saya turun padang, tanya penduduk. Mereka tanam sendiri, jaga sendiri. Ada warga emas yang bersusah payah usahakan tanah ini dari mula sampai sekarang. Jadi, kita sebagai Muslim perlu pertahankan hak mereka.

“Saya dimaklumkan usaha ke arah pemberian hak milik telah dimulakan sejak sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), tetapi terbantut selepas pertukaran kerajaan. Sekarang tinggal proses pentadbiran sahaja untuk diselesaikan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menggesa Majlis Syura Ulama dan Dewan Ulama Pas tampil memperbetulkan keadaan dan bertegas demi keadilan rakyat.

“Pas perjuangkan Islam. Maka tunjukkan keadilan Islam dengan mempertahankan tanah ini. Jangan cemarkan imej parti dengan tindakan bercanggah syarak. Kalau dulu ada kesilapan, sekarang masa untuk betulkan,” katanya.

Sementara itu, seorang peserta projek berkenaan, Jariah Ghani, 70, berkata, dia berharap agar cadangan mengambil semula tanah itu dapat ditarik balik memandangkan dia sekeluarga telah bersusah payah mengusahakan tanaman itu sehingga mengeluarkan hasil.

“Dulu kawasan ini hutan paya bakau. Kami usahakan timbus lubang-lubang tanah dan kadangkala kena banjir. Anak-anak pokok juga sering diganggu babi. Letih sangat kami buat kerja sampailah boleh tuai hasil.

“Ini sahaja pendapatan keluarga saya. Suami telah meninggal dunia, dan kadangkala anak saya datang untuk buat air nira. Sebulan kalau hasil banyak dapatlah dalam RM1,000 lebih. Kalau sikit (hasil) mungkin sekitar RM200 sahaja,” katanya.

Sebelum ini, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Datuk Satiful Bahari Mamat dilaporkan berkata, kerajaan negeri memutuskan untuk membangunkan RTB tapak rumah demi keutamaan generasi muda.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paka itu memberitahu, langkah tersebut dilihat lebih praktikal berbanding meneruskan projek pertanian yang tidak lagi relevan dengan keperluan semasa dan hanya memberi ‘keuntungan’ kepada 96 orang memandangkan keperluan semasa lebih mendesak kepada penyediaan tapak rumah. – Sinar Harian

Related Posts