KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim membawa beberapa cucunya ke pejabat di Perdana Putra, Putrajaya bagi melihat sendiri cara beliau bekerja.
Menerusi muat naik terbaharu di Facebook, Perdana Menteri berkongsi cucunya merungut kerana datuk mereka sering tiada di rumah disebabkan sibuk bekerja dan menghadiri pelbagai acara.
“Cucu merungut kenapa saya jarang di rumah. Depa (mereka) tak tau tugas untuk negara tidak mudah.
“Lantaran itu saya bawa depa mai (datang) pejabat tengok saya bekerja,” katanya dalam entri itu, hari ini.
Sejak beberapa minggu lalu, jadual Perdana Menteri padat dengan pelbagai program di dalam dan luar negara.
Minggu lalu, beliau menghadiri Sidang Kemuncak Mesyuarat Menteri Kewangan dan Gabenor ASEAN (AFMGM) ke-12 di ibu negara, selain beberapa program dalam negara.
Selasa lalu, beliau menyambut kedatangan Presiden China, Xi Jinping yang melawat Malaysia selama tiga hari.
Perdana Menteri kemudian berangkat ke Bangkok bagi mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatnya dari Thailand, Paetongtarn Shinawatra dalam usaha memperkukuh hubungan dua hala.
Anwar juga bertemu Perdana Menteri Myanmar, Jeneral Kanan Min Aung Hlaing dan pemimpin Kerajaan Perpaduan Nasional (NUG) Myanmar, Mahn Win Khaing Than ke arah penyelesaian konflik di negara dan bantuan kemanusiaan susulan gempa bumi di Myanmar.
Perdana Menteri turut ‘terbang’ ke Kuching bagi menghadiri Majlis Aidilfitri MADANI 2025 Sarawak yang diadakan di Stadium Perpaduan, semalam. – Berita Harian