MAKKAH: “Selepas minum air zamzam, arwah minta kami berempat rakam gambar sebagai kenang-kenangan. Ketika melakukan pusingan kelima tawaf sunat, arwah tiba-tiba rebah di depan mata saya.”
Demikian kata rakan sebilik kepada jemaah haji Malaysia yang meninggal dunia di Tanah Suci pada pagi Isnin waktu tempatan akibat serangan jantung.
Ashri Mohamed, 52, berkata, ketika hampir pengsan, Allahyarham Abdullah Mat, 59, sempat berpaut padanya dan dia menyambut tubuh badan serta mendakap kepala arwah daripada terjatuh ke lantai.
“Waktu itu kami baru lepas lalui lampu hijau yang sejajar dengan Hajar Aswad, saya lihat arwah berjalan makin lama makin perlahan. Bila tengok macam itu saya terus rapatkan diri dengannya.
“Lagi seminit azan Subuh nak dilaungkan arwah rebah depan saya,” katanya yang merupakan rakan sebilik Allahyarham sejak berada di Madinah.
Ashri berkata, dalam keadaan kelam-kabut kerana jemaah lain sedang bersiap sedia untuk menunaikan solat Subuh datang seorang lelaki warga India memberitahu dirinya adalah seorang doktor dan memulakan bantuan pernafasan (CPR) kepada arwah.
“Lelaki berkenaan meminta kami hubungi pasukan perubatan dan arwah dibawa ke unit kecemasan hospital.
kecemasan, seorang doktor di hospital berkenaan beritahu, arwah sudah ‘tiada’ dan minta maklumkan kepada warisnya. Saya tidak pasti arwah hembuskan nafas terakhir di Masjidil Haram ataupun di hospital namun sempat mengajarnya mengucap ketika rebah,” katanya.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, berkata jemaah berkenaan, Abdullah Mat, 59, menghembuskan nafas terakhir di Hospital Jiwar, Jabal Omar, Makkah.
Ini adalah kes kedua membabitkan kematian jemaah haji Malaysia di Tanah Suci selepas Allahyarhamah Norizah Tambonan, 47, yang dilaporkan meninggal dunia Jumaat lalu akibat serangan jantung. – Sinar Harian