Oleh MUKHATAR A. RAHMAN
DUNGUN: Kira-kira 50 penduduk di Kampung Besol Lama, Bukit Besi di sini bimbang dengan kehadiran sekumpulan gajah liar yang dikesan merosakkan tanaman serta berkeliaran berhampiran kawasan penempatan mereka sejak awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira 5 pagi itu, kumpulan haiwan berkenaan dilaporkan berada berhampiran rumah penduduk, sekali gus menimbulkan rasa tidak selesa dan kebimbangan terhadap aspek keselamatan.
Seorang penduduk, Jawal Jusoh, 68, berkata beliau terdengar bunyi bising di luar rumah sebelum meminta anaknya memeriksa punca kejadian.

“Tidak lama kemudian, anak saya memaklumkan terdapat gajah liar tidak jauh dari rumah dan sedang bergerak ke arah hutan berhampiran,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Menurutnya, kehadiran semula haiwan berkenaan selepas beberapa tahun tidak dilihat menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk.

“Saya akui rasa takut, tetapi dalam masa sama tetap melihat keadaan. Sebelum ini memang pernah nampak, tetapi sejak dua atau tiga tahun kebelakangan ini sudah tidak kelihatan. Namun pagi tadi ia muncul kembali,” katanya.
Kehadiran gajah liar itu turut mencetuskan kebimbangan khususnya dalam kalangan ibu bapa yang risau akan keselamatan anak-anak yang berulang-alik ke sekolah serta bermain di kawasan berhampiran.
Seorang lagi penduduk, Mohamad Bahari Endut berkata, walaupun sebelum ini haiwan berkenaan diketahui berada di kawasan hutan, ia tidak pernah menghampiri penempatan penduduk.

“Sudah tentu kami berasa takut dan berharap pihak berwajib dapat mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan keselamatan penduduk terjamin,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Besol Lama, Nasarudin Mohd Salleh berkata aduan berhubung kejadian itu telah dikemukakan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) daerah Dungun.
Beliau berkata penduduk turut dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada serta tidak menghampiri haiwan liar berkenaan bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini. – Suara Timur
