BERA: Rangka manusia ditemui di FELDA Bukit Mendi, di sini pada 2 Mei lalu, dikenal pasti milik seorang lelaki berusia 49 tahun yang dilaporkan hilang 14 bulan lalu.
Rangka yang ditemui di kawasan semak di kawasan paya di FELDA itu disahkan milik Hanafi Mohamad yang dilaporkan hilang 3 Mei tahun lalu.
Ketua Polis Daerah Bera, Superintendan Zulkiflee Nazir berkata, rangka itu dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan, 9 Mei lalu untuk ujian DNA (asid deoksiribonukleik).
Beliau berkata, sampel darah adik mangsa diambil untuk tujuan analisis itu.
“Berdasarkan analisis diperolehi, rangka itu dikenal pasti sebagai milik Hanafi dan keputusan ujian DNA menunjukkan padanan 99.9 peratus dengan sampel darah waris mangsa.” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Zulkiflee berkata, setakat ini siasatan mendapati kematian lelaki terbabit tiada unsur jenayah.
Menurutnya, keluarga mangsa sudah menuntut rangka itu untuk urusan pengebumian.
Pada 2 Mei lalu, seorang peneroka berusia 51 tahun menemui rangka manusia berselerak, bersama sehelai baju, seluar, jaket dan telefon bimbit di kawasan paya, kira-kira 100 meter dari rumah peneroka FELDA Bukit Mendi. – Berita Harian