KUALA TERENGGANU: Kerajaan Terengganu mula melaksanakan caj percuma wad kelas ketiga bagi seluruh hospital kerajaan di Terengganu pada 2021.
Dianggarkan kira-kira 1.2 juta rakyat Terengganu dikatakan menerima manfaat menerusi pelaksanaan manifesto Pas Terengganu dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.
Caj percuma wad kelas ketiga itu melibatkan enam buah hospital iaitu Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Hospital Dungun, Hopsital Kemaman, Hospital Setiu, Hospital Besut dan Hospital Hulu Terengganu.
Rakyat Terengganu memuji dan berbangga dengan bantuan besar yang diberikan Kerajaan Terengganu.
Namun pendedahan admin Facebook Greater Terengganu Development yang mendakwa
Kerajaan Pusat telah menanggung kos caj wad ketiga sebanyak RM37 mengejutkan kebanyakan rakyat negeri ini.
Ini kerana, Kerajaan Terengganu hanya membayar baki RM3 sahaja yang dicaj daripada keseluruhan berjumlah RM40 seorang.
Difahamkan kos rawatan dan perubatan ketika menjalani rawatan ditanggung sepenuhnya Kerajaan Persekutuan dan bayaran RM3 itu adalah kos ‘penginapan’.
Sebaliknya, rakyat selama ini percaya caj tersebut yang berjumlah RM40 itu dibayar sepenuhnya oleh Kerajaan Terengganu kerana perkara ini tidak didedahkan pemimpin kerajaan negeri dan Pas.

Bagaimanapun rakyat Terengganu tetap berterima kasih kepada kerajaan negeri yang membayar kos ‘penginapan’ RM3 itu, sekurang-kurangnya meringankan beban golongan miskin.
“Caj wad kelas 3 percuma ni sangat bagus dan admin puji komitmen kerajaan Terengganu.
“Walaupun amaun yang ditanggung kerajaan negeri kecil berbanding subsidi kesihatan daripada Kerajaan Pusat, tapi ia adalah baik
“Contohnya caj normal wad kelas 3 sehari adalah RM40.
“Kerajaan Pusat telah menanggung kos sebanyak RM37.
“Jadi baki RM3 sahaja yang dicaj (kepada pesakit) dan inilah yang dibayar kerajaan Terengganu,” dakwa admin Facebook Greater Terengganu Development.
Sehubungana itu, Kerajaan Terengganu perlu memberi penjelasan mengenai dakwaan tersebut untuk memberi kefahaman yang sebenarnya kepada rakyat.
Sementara itu, di ruangan komen Facebook itu, pelbagai komen diutarakan pengikut termasuk Ahmad Hassan Azik yang meluahkan, “Kita boleh menghargai usaha kerajaan negeri, tetapi jangan sampai terkeliru dengan propaganda yang menggambarkan seolah-olah kerajaan negeri menanggung sepenuhnya kos perubatan. Hakikatnya, Kerajaan Persekutuan sudah lama menyediakan subsidi kesihatan kepada rakyat Malaysia.”
Seorang pengikut, Ahmad Ahmad Albab menulis, “Hahaha…tanggung RM3 je… sembang mcm tanggung semua kos.”
Rodiey Chewan pula berkata, “Tengok manifesto serung. Rupenya 5% je krajaan negeri laburr.” – Suara Timur