Oleh MUKHATAR A. RAHMAN
DUNGUN: Kira-kira 1,000 penduduk Kampung Baru, Kuala Abang dekat sini terjejas susulan kebakaran hutan yang dipercayai berpunca daripada aktiviti pembakaran terbuka oleh pihak tidak bertanggungjawab sejak pagi semalam.
Kebakaran itu dilaporkan telah memusnahkan kira-kira 32 hektar kawasan hutan simpan bakau berhampiran kampung berkenaan, sekali gus menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk setempat.
Tinjauan di lokasi mendapati kepulan asap tebal menyelubungi kawasan sekitar sehingga menjejaskan jarak penglihatan dan mengganggu keselesaan penduduk.

Keadaan itu turut memberi kesan kepada kesihatan penduduk, khususnya warga emas, kanak-kanak dan bayi yang berisiko mengalami masalah pernafasan serta komplikasi kesihatan lain.
Seorang penduduk, Hafsham Aksah berkata beberapa rumah di kawasan terjejas terpaksa dikosongkan sementara kerana penghuni tidak tahan dengan asap tebal.

“Rumah saya memang tiada orang duduk buat masa ini, begitu juga beberapa rumah jiran kerana mereka berpindah sementara ke rumah saudara-mara,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Mohamad Shahrul Zamzuri Amri berkata keadaan itu amat membimbangkan terutama kepada keluarga yang mempunyai anak kecil.

“Asap ini memberi kesan kepada kesihatan, terutama bayi dan kanak-kanak, termasuk pelajar sekolah berhampiran,” katanya.
Sementara itu, Sazlah Aksah berkata aktiviti harian keluarganya turut terjejas akibat keadaan jerebu yang semakin teruk.

“Memang terseksa dengan keadaan asap ini, tambahan pula saya mempunyai anak yang menghidap penyakit jantung dan seorang lagi masih kecil,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Dungun, Yahaya Hanafi berkata cuaca panas dan berangin dikenal pasti sebagai faktor yang menyebabkan kebakaran mudah merebak.
Beliau berkata operasi pemadaman sedang giat dijalankan dan pihaknya menjangkakan kebakaran dapat dikawal sepenuhnya dalam tempoh kira-kira seminggu. – Suara Timur
