KUALA NERUS: Universiti Putra Malaysia (UPM) meneruskan penguasaan dalam Varsity Track & Field (VTF) 2026 Siri 2 apabila kuartet 4×100 meter lelaki universiti itu memecahkan rekod kejohanan pada hari kedua pertandingan yang berlangsung di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di sini hari ini.
Kuartet yang dibarisi Mohammad Thaqif Mohammad Hisham, Reeve Kua Man Hong, Muhammad Haziq Mohamad Akhir dan Elvin Yap Zhi Xian mencatat masa 40.51 saat untuk memperbaharui rekod kejohanan yang sebelum ini turut dipegang oleh UPM.
Kejayaan itu menyaksikan UPM mengungguli acara berkenaan dengan meninggalkan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di tempat kedua menerusi catatan 42.11 saat, manakala Universiti Multimedia (MMU) menduduki tempat ketiga dengan masa 42.51 saat.
Pencapaian tersebut dilihat sebagai petanda positif buat UPM dalam persiapan menghadapi Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) selain mengukuhkan peluang atletnya untuk merebut tempat ke Sukan Universiti ASEAN (AUG) yang dijadual berlangsung hujung tahun ini.
Pengurus pasukan UPM Hasmawi Azlie Nasaruddin berkata kejayaan atlet universiti itu memecahkan rekod dalam tempoh dua hari berturut-turut membuktikan keberkesanan program latihan yang dilaksanakan secara konsisten sepanjang tahun.
“Atlet kami berjaya memperbaharui rekod masing-masing dalam tempoh dua hari berturut-turut dan ia menjadi penanda aras baharu kepada program latihan yang dilaksanakan secara berterusan walaupun selepas tamat sesuatu kejohanan.
“Saya tidak melihat ia terlalu awal untuk atlet-atlet ini mencapai prestasi terbaik di VTF walaupun sasaran utama kami adalah SUKIPT,” katanya kepada pemberita selepas pertandingan.
Menurut beliau, VTF bukan sekadar platform persiapan menjelang SUKIPT, malah menjadi pentas penting dalam pemilihan atlet untuk mewakili negara ke AUG.
“Walaupun ramai atlet kebangsaan terdiri daripada pelajar UPM, kami tetap perlu bersaing dengan institusi pengajian tinggi lain bagi merebut slot ke AUG dan pencabar terdekat kami sudah tentu UPSI.
“Tahap persaingan di VTF juga semakin meningkat saban tahun apabila atlet daripada institusi lain turut mampu memberi saingan kepada atlet kebangsaan. Ia memberikan peluang yang sama rata kepada semua atlet untuk menonjolkan kemampuan masing-masing,” katanya.
Semalam, UPM turut mencuri tumpuan apabila Muhammad Fakrul Afizul Nasir memecahkan rekod kebangsaan acara 400 meter lari berpagar dengan catatan 50.53 saat.
Catatan itu memperbaharui rekod kebangsaan miliknya sendiri iaitu 51.11 saat yang dilakukan pada 2024 sekali gus meneruskan rentak cemerlang kem UPM dalam kejohanan berkenaan. – Suara Timur
