Home SukanBadang UC TATI galas misi berganda, tekad genggam ijazah, buru emas SUKMA Selangor

Badang UC TATI galas misi berganda, tekad genggam ijazah, buru emas SUKMA Selangor

oleh suara timur

KUALA TERENGGANU: Dua atlet angkat berat Terengganu, Muhammad Shah Jeh’an Syamsul Bahri dan Farid Redzuan Mohd Zaubidi menggalas cabaran serentak sebagai pelajar dan atlet dalam misi memburu pingat emas pada Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 bermula 15 Ogos ini.

Kedua-duanya yang kini menuntut di Universiti Kolej TATI (UC TATI) dalam jurusan Diploma Sukan dan Rekeasi bukan asing dengan rutin padat apabila perlu membahagikan masa antara kuliah dan latihan sejak di bangku sekolah lagi.

Muhammad Shah Jeh’an berkata, walaupun berdepan jadual yang mencabar termasuk penyertaan dalam pelbagai kejohanan sejak semester pertama, beliau tetap komited memastikan pengajian tidak terjejas.

FARID Redzuan Mohd Zaubidi menjalani latihan  bagi persediaan menghadapi SUKMA Selangor 2026 di Pusat Latihan Angkat Berat, Kompleks Sukan Negeri Terengganu di Kuala Terengganu.

“Memang mencabar untuk seimbangkan latihan dan akademik, tetapi sistem pembelajaran fleksibel di UC TATI banyak membantu kami kekal di landasan untuk tamat pengajian mengikut tempoh,” katanya yang baru menamatkan peperiksaan semester terakhir untuk menamatkan pengajian.

banner

Sementara itu, Farid Redzuan menyifatkan edisi SUKMA kali ini sebagai peluang terakhir untuk membuktikan kemampuan selepas melalui pelbagai fasa latihan bersama.

“Kami sudah lama bersama dalam program latihan SUKMA. Sasaran kami jelas, iaitu emas. Ini peluang terakhir untuk kami buktikan segala pengorbanan selama ini berbaloi, bukan sahaja kepada diri sendiri tetapi juga kepada keluarga, jurulatih dan semuanya di Terengganu ini,” katanya.

MUHAMMADShah Jeh’an Syamsul Bahri tekad untuk meraih pingat emas bagi acara angkat berat pada SUKMA Selangor 2026.

Untuk temasya edisi ke-22 kali ini, Terengganu akan menurunkan 16 atlet angkat berat terdiri daripada lapan lelaki dan lapan wanita. Acara berkenaan dijadual berlangsung dari 16 hingga 20 Ogos di Dewan Seri Cempaka, Hulu Langat.

Pada SUKMA Sarawak 2024 lalu, skuad angkat berat Terengganu mencipta kejutan apabila Muhammad Izzan Ismadi memecahkan rekod kebangsaan dalam kategori lelaki 96 kilogram untuk meraih emas.

Nur Alissa Sofea Mohamadnor Wardi turut menyumbang emas dalam kategori wanita 71 kilogram dengan jumlah angkatan 166 kilogram, merangkumi 71kg snatch dan 95kg clean & jerk.

Sekaligus menghimpukan 4 pingat emas dan 2 pingat perak untuk skuad angkat berat Terengganu melabuhkan tirai temasya dengan penuh prestij ketika itu. – Suara Timur

Tinggalkan komen