Sukan

TFC lantik Sheikh Farouk sebagai CEO kelab

KUALA TERENGGANU: Kerusi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd yang baharu sah menjadi milik Sheikh Farouk Sheikh Mohamed Al-Bajrai.

Bekas Pengarah Urusan Malaysian Employers Federation (MEF) itu mengisi tugas yang ditinggalkan Mohd Sabri Abas selepas berlaku pertukaran sebagai Pegawai Tadbir Negeri Terengganu yang berkuat kuasa pada 4 Mei 2025.

Terdahulu kekosongan jawatan itu dipangku oleh Ketua Pegawai Operasi (COO) TFC Sdn Bhd, Mohd Syahrizan Mohd Zain.

Menerusi kenyataan media hari ini, Mohd Shahrizan menjelaskan pelantikan ini dibuat secara tertib melalui satu temu duga tertutup pada 8 Julai 2025 dan dibentangkan oleh panel temu duga dalam mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah TFC Sdn Bhd pada tarikh yang sama.

“Keputusan penuh pelantikan ini dibuat pada 27 Julai 2025 dalam satu Mesyuarat Khas Ahli Lembaga Pengarah TFC Sdn Bhd.

“TFC amat mengharapkan dengan penyertaan Sheikh Farouk sebagai CEO yang baharu akan dapat membantu memperkukuhkan lagi peranan penswastaan kelab ini sebagai sebuah kelab bola sepak swasta yang lebih profesional.

“Pada masa TFC Sdn Bhd amat mengalu-alukan kepimpinan Sheikh Farouk untuk membawa agendakelab sebagai sebuah pasukan bola sepak tempatan yang berdaya saing dan terus mendaki ke arah yang lebih membanggakan pada masa depan,” ujar Mohd Syahrizan.

Berdasarkan rekod, Sheikh Farouk adalah individu berkelulusan Sarjana Muda Sains (Kepujian Dalam Kewangan), Arizona State University, USA dan adalah akauntan bertauliah daripada CIMA,UK dan berdaftar di bawah Institut Akauntan Malaysia (MIA).

Sebelum ini, beliau adalah Pengarah Urusan MEF dan pernah berkhidmat sebagai Pengarah Urusan AEON BiG, sebuah peruncit utama di Malaysia yang mempunyai 22 cawangan pasar raya utama.

Beliau juga memiliki pengalaman bekerja bawah Kumpulan Syarikat Nestle selama 18 tahun dan bertugas di pelbagai lokasi termasuk Malaysia, Singapura, Fillipina dan Switzerland.

Dalam aspek pelibatan dunia sukan, beliau dilantik sebagai pengerusi Impact Integrated iaitu sebuah agensi bawah naungan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang memberikan fokus terhadap belia dan e-sports.

Beliau juga dilantik sebagai penasihat Persatuan Orang Pekak Malaysia dan ahli jawatankuasa pemasaran dan penajaan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM). – Harian Metro

Related Posts