Home SukanPiala Agong: Terengganu buru gelaran kedua, Johor tekad tamat kemarau

Piala Agong: Terengganu buru gelaran kedua, Johor tekad tamat kemarau

oleh suara timur

SHAH ALAM: Terengganu berpeluang menamatkan penantian tujuh tahun untuk kembali beraksi di pentas akhir Kejuaraan Ragbi Piala Agong apabila berdepan Johor dalam aksi final edisi ke-42 di Stadium UiTM, Shah Alam, Ahad ini.

Skuad Pantai Timur itu hadir dengan reputasi cemerlang selepas mengekalkan rekod tanpa kalah sepanjang kempen musim ini dan kini mengintai gelaran kedua selepas menjulang trofi buat kali pertama pada 2019.

Johor pula berazam menamatkan kekecewaan selepas tewas dalam dua penampilan berturut-turut di pentas final, sekali gus memburu kejuaraan ketiga selepas muncul juara pada 2013 dan 2017.

Pertembungan kali ini turut mencuri perhatian apabila Terengganu dibimbing jurulatih tempatan, Hafiizh Zainal, manakala Johor terus mempertaruhkan sentuhan bekas kapten All Blacks, Rodney So’oialo, yang memasuki musim kedua mengendalikan pasukan itu.

banner
KETUA jurulatih Terengganu Hafiizh Zainal (tengah) tekad memastikan pasukan negeri kelahirannya kembali merangkul kejuaraan ragbi Piala Agong edisi ke-42.

Hafiizh, yang juga bekas pemain kebangsaan, berkata rekod cemerlang sepanjang musim tidak lagi memberi sebarang kelebihan apabila kedua-dua pasukan melangkah ke perlawanan penentuan.

“Walaupun kedua-dua pasukan mara ke final dengan rekod tanpa kalah, kami tidak melihat perkara itu sebagai kelebihan. Johor memiliki reputasi besar dan kekuatan tersendiri, manakala kami memulakan musim ini sebagai pasukan bukan pilihan.

“Johor pastinya mahu menebus kekecewaan selepas dua kali gagal di pentas akhir. Saya menjangkakan perlawanan berlangsung sengit sejak wisel pertama dengan kedua-dua pasukan akan mempertaruhkan strategi terbaik,” katanya.

Beliau berkata Terengganu berada pada tahap kesiapsiagaan terbaik dengan semua pemain utama bebas daripada kecederaan dan bersedia mengharungi aksi penuh selama 80 minit.

Terdahulu, Terengganu mencipta kejutan apabila menyingkirkan juara bertahan tiga kali berturut-turut, PDRM, pada aksi separuh akhir, manakala Johor menewaskan Kelantan untuk mara ke final buat kali ketiga berturut-turut.

Kali terakhir Terengganu dan Johor bertemu di pentas akhir ialah pada 2017, menyaksikan Johor menewaskan Terengganu 32-29 di Kuala Terengganu.

Perlawanan akhir dijadual bermula pada 4.45 petang, manakala aksi penentuan tempat ketiga dan keempat antara PDRM dan Kelantan berlangsung pada 2 petang di venue yang sama. – Suara Timur

Tinggalkan komen