KUALA LUMPIR: Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) terus memantau Empangan Klau, Raub, Pahang bagi mengesan sebarang perkembangan susulan penemuan ikan disyaki piranha pada 26 Ogos lalu.
Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Adnan Hussain berkata, berdasarkan pemantauan dan maklumat diperoleh setakat ini, pihaknya belum menemui bukti menunjuk populasi ikan larangan berkenaan sudah bertapak dan membiak di empangan itu.
Katanya, Pejabat Perikanan Negeri Pahang sudah menjalankan siasatan susulan penemuan itu, manakala gambar dan rakaman video ikan berkenaan dikemukakan kepada Institut Penyelidikan Perikanan (IPP) Glami Lemi, Negeri Sembilan untuk penilaian teknikal.
“Berdasarkan bahan visual diterima, ciri morfologi ikan itu konsisten dengan genus Pygocentrus, iaitu kumpulan ikan piranha.
“Bagaimanapun, pengesahan sehingga peringkat spesies tidak dapat dilakukan kerana spesimen fizikal tidak tersedia untuk pemeriksaan lanjut,” katanya ketika mengulas perkembangan isu penemuan ikan disyaki piranha di Empangan Klau.
Adnan berkata, sehingga Ogos tahun ini, sebanyak 121 pemeriksaan dan tindakan verifikasi dilaksanakan di premis, kedai akuarium dan ladang ternakan ikan di seluruh negara.
Katanya, pemeriksaan itu membabitkan 24 pangkalan penguatkuasaan, Pejabat Perikanan Negeri serta Ibu Pejabat Perikanan Malaysia.
“Hasil pemantauan berkenaan, sebanyak 17 kes direkodkan dan disiasat mengikut Peraturan-Peraturan Perikanan (Larangan Import, Dsb, Bagi Ikan) 1990, Akta Perikanan 1985.
“Sebanyak 377 ikan larangan turut dirampas dengan anggaran nilai keseluruhan RM16,180 berdasar nilai pasaran semasa.
“Tiada spesies piranha dikesan atau dirampas laggi dalam 17 kes berkenaan,” katanya. – Metro
