Mahkamah dan Jenayah

Angkara ‘phone scam’, penuntut universiti awam kerugian lebih RM187,000

KUALA TERENGGANU:Terengganu: Penuntut perempuan sebuah universiti awam kerugian RM187,800 apabila terpedaya dengan sindiket ‘phone scam’.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, mangsa membuat laporan berhubung penipuan itu di Balai Polis Kuala Terengganu pada 9.43 malam semalam.

Menurutnya, pada 4 Ogos lalu, mangsa menerima panggilan telefon daripada individu menyamar sebagai syarikat pembayaran elektronik dan memberitahu mangsa melakukan penyalahgunaan aplikasinya.

Katanya, kemudian mangsa kononnya disambung dengan beberapa individu yang menyamar sebagai polis dan juga individu bergelar datuk, menerusi empat nombor telefon berasingan sebagai taktik bagi menakutkan mangsa.

“Dalam perbualan itu, mangsa dikatakan kononnya terbabit dengan pengubahan wang haram dan dadah.

“Mangsa kemudian diarahkan untuk membuat pindahan wang bagi tujuan siasatan sehingga kerugian RM187,800,” katanya.

Menurutnya, bermula 4 sehingga 9 Ogos lalu, mangsa membuat lapan kali transaksi secara berperingkat melalui mesin ATM kepada enam akaun.

Katanya, selain transaksi wang ke dalam akaun, mangsa juga menyerahkan barang kemas pada 9 Ogos lalu iaitu tiga gelang tangan, lima cincin dan satu loket kepada seorang perempuan di tepi Jalan Pantai Penarik Setiu, sebagaimana yang diarahkan oleh suspek.

Beliau berkata, mangsa menyedari dirinya ditipu selepas diminta untuk menyerah semua barang kemas milik keluarganya ketika berjumpa dengan perempuan terbabit.

“Mangsa tidak dapat mengecam wanita yang ditemuinya di tepi jalan ketika menyerahkan barangan kemas berikutan suspek memakai pelitup muka ketika itu.

“Sumber kewangan adalah wang simpanan milik mangsa sendiri, wang dalam akaun ibu bapanya dan barang emas milik ibunya yang mana mangsa mengambil kad ATM milik ayah dan ibu tanpa pengetahuan mereka untuk membuat transaksi melalui mesin ATM,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – Harian Metro

Related Posts