Home PolitikSUK, Penasihat Undang-Undang Negeri Sembilan digantung tugas berkuat kuasa serta-merta

SUK, Penasihat Undang-Undang Negeri Sembilan digantung tugas berkuat kuasa serta-merta

oleh suara timur

Oleh MUKHATAR A RAHMAN

SEREMBAN: Mesyuarat Khas Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Negeri Sembilan hari ini memutuskan secara sebulat suara untuk menggantung tugas Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Zafir Ibrahim dan Penasihat Undang-Undang Negeri, Datuk Muzalmah Mustapha Kamal berkuat kuasa serta-merta.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim berkata Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Masri Haji Razali dinamakan untuk menjalankan tugas Setiausaha Kerajaan Negeri sehingga Setiausaha Kerajaan Negeri baharu dinamakan oleh Ketua Setiausaha Negara.

“Manakala tugas memberikan nasihat perundangan akan dilaksanakan oleh Fahmi Adilah, seorang peguam bela dan peguam cara sehingga Penasihat Undang-Undang Negeri yang baharu dinamakan oleh Jabatan Peguam Negara,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

banner

Beliau berkata notis penggantungan Setiausaha Kerajaan Negeri akan dimaklumkan kepada Ketua Setiausaha Negara dan Jabatan Perkhidmatan Awam, manakala notis penggantungan Penasihat Undang-Undang Negeri akan dimaklumkan kepada Jabatan Peguam Negara.

Dalam pada itu, Ismail mengesahkan semua jawatan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) masih kekal dan sah.

“Pada masa yang sama, pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan akan terus berjalan seperti biasa dan amanah kepada rakyat akan terus dilaksanakan dengan sebaik-baiknya,” katanya. – Suara Timur

Tinggalkan komen