KEMAMAN: Kenyataan seorang penganalisis politik yang mencadangkan supaya PAS keluar daripada Perikatan Nasional (PN) mengundang reaksi keras pimpinan Bersatu Terengganu yang menyifatkannya sebagai cubaan terancang untuk memecah-belahkan gabungan pembangkang itu.
Pengerusi Bersatu Terengganu, Razali Idris menegaskan pandangan dikemukakan Ahmad Zaharuddin Sani bukan sahaja dangkal, malah berbaur provokasi politik yang didakwa bertujuan melaga-lagakan komponen dalam PN.
Menurut beliau, cadangan supaya PAS bergerak secara solo hanyalah naratif “kitar semula” pihak lawan yang semakin gusar terhadap peningkatan sokongan rakyat terhadap PN menjelang pilihan raya akan datang.
“Yang ghairah suruh PN berpecah biasanya bukan penyokong PN. Mereka tahu bila PN bersatu, kekuatan rakyat sukar digugat,” katanya dalam satu hantaran menerusi akaun Facebook miliknya hari ini.
Razali turut menyifatkan dakwaan kononnya Bersatu sedang “reput” sebagai persepsi sengaja dimainkan bagi melemahkan moral penyokong serta menggugat keyakinan akar umbi terhadap gabungan berkenaan.
Beliau menegaskan setiap gabungan politik mempunyai cabaran tersendiri, namun ia bukan alasan untuk menggugat kesepakatan yang telah dibina atas dasar kepercayaan dan perjuangan bersama.
Katanya, sebarang perbezaan pandangan dalam kalangan ahli di peringkat bawahan juga tidak boleh dianggap sebagai pendirian rasmi parti, sebaliknya mencerminkan amalan demokrasi yang subur dalam PN.
“PAS dan Bersatu kekal komited dalam kerangka besar PN demi kestabilan politik dan masa depan negara,” katanya.
Razali berkata PN ketika ini memiliki barisan pimpinan berpengalaman yang telah teruji dalam mendepani pelbagai krisis nasional dan politik, sekali gus mampu mengurus sebarang isu dalaman secara matang.
Dalam masa sama, beliau mengingatkan bahawa sebarang usaha memecahkan kerjasama PAS dan Bersatu hanya akan menguntungkan pihak lawan melalui perpecahan undi.
Menurutnya, kekuatan PAS di kawasan tradisional dan pengaruh Bersatu di kawasan bandar serta nasional merupakan kombinasi penting yang tidak boleh dipisahkan.
Beliau turut menegaskan rekod PN sebagai kerajaan yang prihatin dan efisien masih mendapat perhatian rakyat, selain menjadi simbol kepada politik berteraskan integriti dan nilai bersih.
“Jangan biarkan suara-suara sumbang dari luar menentukan haluan perjuangan kita. PN akan terus kekal sebagai blok politik yang bersih, stabil dan berintegriti untuk memimpin Malaysia,” katanya lagi. – Suara Timur
