Home NasionalLelaki maut dipercayai diserang sekumpulan gajah liar

Lelaki maut dipercayai diserang sekumpulan gajah liar

oleh suara timur

GUA MUSANG: Seorang buruh yang berkhemah di hutan ditemukan maut dipercayai diserang sekumpulan gajah liar di kawasan tepi sungai berhampiran ladang getah di Jalan Ladang Serasa, di sini pada Khamis.

Mangsa, Razali Daud, 55, meninggal dunia dengan kecederaan parah pada seluruh badan pada jam 11.30 pagi.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choon Foo berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira jam 11.38 pagi.

“Maklumat awal yang diterima daripada orang awam mendapati mangsa dipercayai diserang oleh sekumpulan gajah liar ketika berada di kawasan tersebut.

banner

“Pasukan polis dari Balai Polis Paloh 2 yang bergegas ke lokasi kemudian menjalankan pemeriksaan dan menemukan kesan tapak kaki serta najis gajah di sekitar kawasan kejadian,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, hasil siasatan awal setakat ini mendapati tiada unsur jenayah berkaitan kejadian tersebut.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Gua Musang untuk dibedah siasat.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai khususnya penduduk yang tinggal berhampiran kawasan hutan dan ladang supaya sentiasa berwaspada.

“Sentiasa berhati-hati dan mengelakkan memasuki kawasan berisiko yang dikenal pasti sebagai habitat hidupan liar termasuk gajah,” katanya. – Sinar

Tinggalkan komen