Home NasionalPelajar maut terkena renjatan elektrik ketika ambil wuduk di sekolah

Pelajar maut terkena renjatan elektrik ketika ambil wuduk di sekolah

oleh suara timur

SIBU: Seorang pelajar Tingkatan Empat maut, manakala seorang pelajar Tingkatan Tiga pula parah selepas dipercayai terkena renjatan elektrik ketika hendak mengambil wuduk di sebuah sekolah menengah di Daro, Bahagian Mukah, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Matu Daro, Deputi Superintendan Rahim Mihos, berkata pihaknya menerima makluman daripada pihak sekolah kira-kira jam 8 malam berhubung kejadian itu yang dilaporkan berlaku ketika tiga pelajar lelaki berada di kawasan mengambil wuduk.

Beliau berkata, mangsa berusia 16 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan.

“Seorang lagi mangsa berusia 15 tahun yang juga pelajar Tingkatan Tiga pula mengalami kecederaan parah dan dikejarkan ke Hospital Daro sebelum dirujuk ke Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Sibu, untuk rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

banner

Rahim berkata, seorang lagi pelajar lelaki berusia 15 tahun yang turut berada di lokasi kejadian bagaimanapun dilaporkan tiada mengalami sebarang kecederaan.

Susulan itu, beliau berkata, pihak Sarawak Energy telah dimaklum supaya memutuskan bekalan elektrik bagi memastikan keadaan di lokasi kejadian adalah selamat.

Katanya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Daro untuk tindakan lanjut, dan kes masih dalam siasatan. – Berita Harian

Tinggalkan komen