KUALA NERUS: Lelaki warga emas berusia 60 tahun ditemukan rentung selepas kediamannya di Kampung Lingai, di sini, terbakar, hari ini.
Mayat Zakaria Mohd, 60, ditemui di ruang tamu rumah oleh pasukan Bomba dan Penyelamat (JBPM) selepas proses pemadaman selesai.
Cucu saudara mangsa, Siti Hajar Anan, 28, berkata sebelum kejadian, dia sedang melipat kain di ruang tamu rumahnya yang terletak bersebelahan kediaman mangsa.
Menurutnya, dia kemudian terdengar beberapa bunyi letupan kecil seperti mercun sebelum keluar untuk melihat keadaan.
“Bunyi letupan seperti orang main mercun, saya terus keluar sebelum terkejut melihat api sudah marak membakar rumah datuk saudara.
“Jiran tidak dapat masuk sebab api marak dan memanggilnya daripada luar sebelum pasukan bomba tiba,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Siti Hajar berkata, kebakaran berlaku begitu pantas menyebabkan usaha awal jiran untuk menyelamatkan mangsa tidak dapat dilakukan.
Pasukan bomba yang tiba di lokasi kemudian menjalankan operasi pemadaman sebelum menemukan mangsa di dalam rumah.
Mayat Zakaria kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan. – Metro
