Negeri

Masalah air bikin 3,000 pesawah resah, hasil padi dijangka berkurangan 80 peratus

KOTA BHARU: Lebih 3,000 pesawah membabitkan kawasan tanaman padi seluas lebih 15,000 hektar resah apabila hasil padi mereka dijangka berkurangan sebanyak 80 peratus bulan depan disebabkan bekalan air yang tidak mencukupi selepas proses menabur benih dilakukan bermula Jun dan Julai lalu.

Pengerusi Persatuan Pesawah Kelantan (Pesak), Zuha Ismail, berkata daerah yang terjejas adalah Kota Bharu Utara, Kota Bharu Selatan, Pasir Puteh, Bachok, Tumpat dan sebahagian di Pasir Mas.

“Proses menabur benih bermula pada Jun dan Julai lalu dan bekalan air sangat penting apabila proses menabur dilakukan.

“Namun apa yang menyedihkan bekalan air dari rumah pam Kemubu tidak dapat dibekalkan kepada pesawh dalam tempoh tertentu menyebabkan keadaan sawah kini banyak rumput berbanding padi.

“Hanya bermula bulan lalu bekalan air dari rumah pam Kemubu disalurkan dan itupun dibuat secara penggiliran, namun keadaan padi sudah tidak mampu diubah,” katanya ketika dihubungi.

Katanya, disebabkan masalah air menyebabkan hasil padi yang dijangka dapat dituai bermula bulan depan berkurangan sehingga 80 peratus.

“Pada masa sama sekali lagi pesawah berdepan kerugian dan tidak mampu untuk membayar hutang. Keadaan ini sangat menyedihkan buat kami yang bergantung kepada hasil padi.

“Justeru kami berharap Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) menyelesaikan masalah yang berlaku terutama membabitkan rumah pam Kemubu.

“Sampai bila kami terpaksa menanggung kerugian dan untuk kali ini menjadikan empat musim berturut turut pesawah menanggung kerugian.

“Sekiranya masalah air masih tidak dapat diselesaikan, kami tidak akan menanam padi untuk musim akan datang melainkan isu air sudah ditangani oleh pihak KADA.

“Situasi sawah kami sekarang bukan tanam padi lagi, seperti tanam rumput kerana rumput lebih banyak berbanding padi,” katanya. – Harian Metro


Related Posts