Kuala Terengganu: Seorang wanita bagaikan bermimpi apabila diumumkan sebagai pemenang jongkong emas bernilai RM100,000 menerusi cabutan bertuah pada program Larian Marathon Terengganu 2025 di Dataran Batu Buruk, di sini, hari ini.
Wan Faizura Wan Arip, 44, berkata, dia tidak pernah terfikir mendapat hadiah utama sebesar itu walaupun ada menyimpan keinginan mahu menang ketika menyertai acara berkenaan.
“Saya tidak sangka keinginan mendapatkan hadiah utama cabutan bertuah ini menjadi kenyataan,” katanya yang menyertai kategori wanita veteran lima kilometer.
Menurutnya, dia menyertai larian hanya untuk memenuhi aktiviti pagi pada hari minggu bersama rakan sekerja, namun dalam masa sama tertarik dengan tawaran hadiah cabutan bertuah jongkong emas.
Katanya, dia tidak terlalu berharap untuk menang memandangkan peserta larian terlalu ramai iaitu lebih 20,000 orang.
“Bagaimanapun saya berpegang pada ungkapan kalau rezeki tidak ke mana. Alhamdulillah, rezeki berpihak kepada saya ,” katanya.
Wan Faizura berkata, dia tidak menyangka gurauan tapak tangan gatal dengan suami sebelum keluar rumah jam 6.30 pagi menjadi kenyataan.
“Saya ajak suami ikut tetapi dia enggan dan saya berkata kepadanya kalau saya menang jongkong emas saya akan bagi kepadanya RM20,000,” katanya.
Katanya, dia gementar ketika menerima replika jongkong emas kerana menyangkakan ia adalah kotak berisi logam berharga berkenaan.
Wan Faizura berkata, dia akan berbincang dengan suami sama ada mahu menjual semula atau menyimpannya di bank. – Harian Metro