KUALA TERENGGANU: Pencerobohan nelayan asing terutama di Semenanjung Pantai Timur berada pada tahap ancaman.
Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Adnan Hussain berkata, agensi penguatkuasa termasuk Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) akan mengembeling tenaga bagi membanteras pencerobohan nelayan asing.
Katanya, tindakan terutama operasi bersepadu akan terus dilaksanakan bagi menangani isu pencerobohan nelayan asing.
“Kita tidak menafikan pencerobohan nelayan asing mencuri sumber marin di perairan kita masih berlaku.
“Komuniti nelayan tempatan juga perlu memberi kerjasama kepada agensi penguatkuasa termasuk menyalurkan maklumat lengkap keberadaan nelayan asing bagi membanteras kegiatan itu,” katanya.
Terdahulu, Adnan merasmikan Program Rasa-Rasa Akuakultur 2025 peringkat Terengganu di Dataran Batu Burok, di sini, hari ini.
Turut hadir adalah Timbalan Setiausaha Kerajaan negeri (Pembangunan), Datuk Rosli Latif.
Ketika mengulas kenaikan harga ikan, Adnan mengakui berlaku kenaikan sumber laut terutama pada setiap kali musim tengkujuh.
Katanya, kerajaan sedang mencari kaedah bagi memastikan bekalan ikan mencukupi terutama di Kelantan, Pahang dan Terengganu, terutama pada Monsun Timur Laut (MTL).
“Antara kaedah bagi memastikan bekalan sumber protein itu mencukupi, kita akan mewujudkan rangkaian pengedaran.
“Pendaratan ikan di Kelantan, Pahang dan Terengganu sedikit terjejas, tetapi tidak berlaku di beberapa negeri di sebelah pantai barat,” katanya.
Berkenaan aktiviti penangkapan ikan, Adnan berkata, sebanyak 1.34 juta tan metrik ikan berjaya didaratkan pada tahun lalu di seluruh negara. – Harian Metro