Oleh MUKHATAR A RAHMAN
KEMAMAN: Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) dengan kerjasama Syarikat Ignis Wawwo Sdn Bhd membangunkan Kilang Pemulihan Sisa Pepejal Ignis 3R berkonsepkan Waste-to-Energy (WTE) yang pertama di Malaysia di Tapak Pelupusan Sampah Bukit Gelugor, Kerteh dekat sini.
Yang Dipertua MPK, Zuwislan Awang berkata, kilang yang bernilai RM50 juta itu menggunakan teknologi pirolisis iaitu proses pemprosesan sisa pepejal melalui kaedah pemanasan tanpa oksigen bagi menghasilkan produk bernilai tambah seperti biodiesel dan karbon.
Katanya, biodiesel yang dihasilkan boleh digunakan sebagai bahan api bagi jentera dan kenderaan sekali gus memberi nilai tambah kepada sisa pepejal yang sebelum ini dilupuskan.

di Tapak Pelupusan Sampah Bukit Gelugor, Kerteh, Kemaman. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A RAHMAN
“Isu sisa pepejal bukan lagi sekadar soal kebersihan, malah berkait rapat dengan alam sekitar, kesihatan awam, ekonomi dan kualiti hidup rakyat.
“Justeru, kita memerlukan pendekatan yang lebih pintar, mampan dan berorientasikan masa hadapan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Kilang Pemulihan Sisa Pepejal Ignis 3R di Tapak Pelupusan Sampah Bukit Gelugor, Kerteh dekat sini semalam.
Majlis perasmian itu disempurnakan Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

di Kilang Pemulihan Sisa Pepejal Ignis 3R di
di Tapak Pelupusan Sampah Bukit Gelugor, Kerteh, Kemaman. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A RAHMAN
Zuwislan berkata, kilang yang dibangunkan di kawasan seluas dua hektar itu berkapasiti memproses sehingga 8,000 tan sisa pepejal sebulan menggunakan 20 reaktor.
Katanya, penggunaan teknologi pirolisis di kilang berkenaan juga berupaya mengurangkan pencemaran udara dan air yang boleh menimbulkan kacau ganggu kepada penduduk setempat.
Selain itu,, katanya, pembangunan kilang itu turut membantu memanjangkan jangka hayat tapak pelupusan sampah yang telah dibuka sejak 1995 dan masih digunakan bagi keperluan pelupusan sisa pepejal di daerah Kemaman.

Kilang Pemulihan Sisa Pepejal Ignis 3R di
di Tapak Pelupusan Sampah Bukit Gelugor, Kerteh, Kemaman. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A RAHMAN
Beliau berkata, kilang berkenaan mula dibina pada Oktober 2024 turut memperoleh kelulusan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) dalam memastikan operasinya mematuhi keperluan serta piawaian alam sekitar yang ditetapkan.
“Buat masa ini, kilang ini menawarkan peluang pekerjaan kepada kira-kira 150 orang penduduk tempatan dalam pelbagai bidang
kemahiran,” katanya.
Sementara it , Ahmad Samsuri berkata, sisa pepejal boleh menjadi aset dan sumber ekonomi baharu sekiranya diurus menggunakan teknologi dan inovasi.

Sehubungan itu, beliau berharap projek berkenaan bukan sahaja berjaya beroperasi sepenuhnya malah dapat menjadi model yang boleh dikaji, dinilai dan diperluaskan ke lokasi lain yang bersesuaian.
“Inilah pembangunan yang kita mahu, ekonomi berkembang, alam sekitar terpelihara dan rakyat mendapat manfaat. Saya percaya inovasi ini merupakan sebahagian daripada masa depan negeri Terengganu,” katanya. – Suara Timur
