Home NasionalUPSI perkukuh agenda kelestarian melalui Karnival Alam Sekitar 2025

UPSI perkukuh agenda kelestarian melalui Karnival Alam Sekitar 2025

oleh suara timur

Oleh BAZLI RAZAK

TANJONG MALIM: Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) meneruskan komitmennya terhadap agenda kelestarian alam sekitar dengan penganjuran Karnival Alam Sekitar Peringkat UPSI 2025, Sabtu lepas.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UPSI, Profesor Dr. Suriani Abu Bakar berkata, karnival anjuran Fakulti Sains Kemanusiaan (FSK) itu bertujuan memupuk kesedaran sivik mengenai pemeliharaan alam sekitar, selaras dengan sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia peringkat kebangsaan yang diraikan pada Oktober lalu.

Beliau berkata, tahun 2025 menyaksikan pencapaian cemerlang UPSI dalam pengurusan alam sekitar apabila menerima pengiktirafan IPT Lestari Perak 2025, memperoleh penarafan Empat Diamond bagi Low Carbon City 2030 Challenge serta melonjak ke kedudukan ke-98 dunia dalam UI GreenMetric World University Rankings 2025, sekali gus tersenarai dalam kelompok 100 universiti terbaik dunia buat pertama kali.

DR SURIANI Abu Baka ketika berucap pada Karnival Alam Sekitar Peringkat UPSI 2025 di Tapak Food Truck, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah UPSI. – SUARA TIMUR/BAZLI RAZAK

“Pencapaian ini mencerminkan komitmen berterusan UPSI dalam memperkukuh agenda kelestarian alam sekitar,” katanya ketika meluncurkan karnival berkenaan di Tapak Food Truck, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, Sabtu lalu,” katanya.

Menurut beliau, peluncuran inisiatif berkenaan turut bertujuan mendidik masyarakat mengenai teknologi hijau dan potensi sisa plastik untuk ditukar kepada bahan bakar alternatif, selain menangani cabaran alam sekitar yang semakin kompleks.

Beliau turut mencadangkan supaya UPSI membangunkan sistem penilaian bagi mengukur pencapaian kelestarian universiti secara menyeluruh, termasuk pendekatan berasaskan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dan pelaksanaan kerangka Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) dengan sokongan kepimpinan serta pembiayaan yang bersesuaian.

BARISAN pengurusan UPSI bergambar bersama pengunjung yang hadir pada Karnival Alam Sekitar Peringkat UPSI 2025 di Tapak Food Truck, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah UPSI, Sabtu lalu. – SUARA TIMUR/BAZLI RAZAK

Sementara itu, Dekan Fakulti Sains Kemanusiaan UPSI, Prof Madya Ts Dr. Nor Kalsum Mohd Isa berkata, karnival berkenaan berfungsi sebagai platform kolaboratif yang menghimpunkan universiti, agensi kerajaan, industri dan komuniti dalam usaha bersama memelihara alam sekitar ke arah masa depan yang lebih lestari.

“Saya ingin merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program berkenaan dan berharap karnival seumpama ini dapat diperluas pada masa akan datang bagi memberi impak yang lebih besar kepada masyarakat dan alam sekitar,” katanya.

Karnival itu turut dimeriahkan dengan penyampaian hadiah Sambutan Hari Bumi Peringkat UPSI serta lawatan ke lebih 20 reruai pameran melibatkan agensi kerajaan, organisasi dan jabatan universiti yang mempamerkan demonstrasi, perkongsian ilmu serta aktiviti interaktif berkaitan alam sekitar, biodiversiti, keselamatan awam dan teknologi hijau.

Selain pameran, pengunjung turut disajikan dengan pelbagai aktiviti komuniti termasuk Jualan Rahmah, fun walk sejauh tiga kilometer dan aktiviti santai untuk seisi keluarga, yang berjaya menarik kehadiran masyarakat setempat dari Tanjong Malim dan kawasan berhampiran. – Suara Timur

Tinggalkan komen