Home NasionalJHEAT akan panggil wanita ada 2 suami untuk pengesahan

JHEAT akan panggil wanita ada 2 suami untuk pengesahan

oleh suara timur

KOTA BHARU: Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) akan memanggil seorang wanita dan pasangannya yang didakwa terbabit dalam kes poliandri.

Ia selepas wanita itu dilaporkan berkahwin dengan lelaki lain ketika masih berstatus isteri orang.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah Agama dan Pemerkasaan Syariah Terengganu Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, pasangan itu yang kini menetap di Tanah Merah, Kelantan akan dipanggil bagi memudahkan proses pengesahan.

“Saya dimaklumkan JHEAT kini dalam proses mendapatkan pengesahan daripada pasangan berkenaan.

banner

“Insya-Allah, jika masa mengizinkan, mereka akan dipanggil hari ini untuk memberi penjelasan berhubung isu berkenaan,” katanya ketika dihubungi.

Khalil berkata, penjelasan daripada pasangan itu adalah penting sebelum sebarang tindakan lanjut boleh diambil.

“Perkara ini membabitkan penyelarasan antara dua unit iaitu penguatkuasaan dan undang-undang keluarga Islam,” katanya.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan seorang wanita mendakwa abangnya ‘dimadukan’ oleh isterinya sejak setahun lalu dan didakwa berkahwin dengan suami keduanya di Songkhla, Thailand.

Wanita dikenali Ekin Derahim mendedahkannya menerusi hantaran di Facebook (FB) dan memaklumkan kakak iparnya yang berasal dari Terengganu dan dilaporkan berkahwin ketika masih berstatus isteri kepada abangnya.

Perkara itu dikatakan terbongkar pada 6 Disember lalu selepas keluarganya dengan bantuan penduduk kampung ‘menangkap’ wanita itu yang berada di rumah lelaki yang dikahwininya pada November tahun lalu lalu di Batu 11, Tanah Merah.

Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEIK) pada semalam juga mengesahkan sudah membuka kertas siasatan berhubung dakwaan berkenaan.

Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta, Mohd Asri Mat Daud dilapor berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan menyeluruh berhubung dakwaan berkenaan. – Metro

Tinggalkan komen