KUALA TERENGGANU: Empat kerajaan negeri di bawah Perikatan Nasional (PN) atau SG4, sedang berusaha secara efektif untuk memperhebatkan sektor pelancongan.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris, berkata exco pelancongan empat negeri Kelantan, Perlis, Kedah dan Terengganu sudah mengadakan perjumpaan dan membincangkan ke arah perhebatkan sektor pelancongan.
Katanya, perjumpaan dan perbincangan kali pertama membabitkan empat exco kerajaan negeri sudah diadakan di Tasik Kenyir pertengahan bulan lalu.
“Kita sudah mengadakan perjumpaan pada pertengahan selama dua hari pertengahan bulan lalu di Tasik Kenyir dan tajuk perbincangan adalah silang kebudayaan.
“Pada perbincangan itu, kita bersetuju membuat pengiklanan untuk fasa pertama iaitu mempromosikan kehebatan, keindahan dan keunikan yang terdapat di empat negeri,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Razali berkata, kerajaan negeri yakin perbincangan dan kaedah akan dilakukan mampu memajukan sektor pelancongan di empat negeri.
Katanya, Terengganu memiliki khazanah dengan alam semula jadi, memiliki pulau, tasik, ada pantai yang cantik serta memiliki ‘geopark’ yang sangat hebat untuk dipromosikan.
“Kelantan, Kedah dan Perlis juga mempunyai kawasan tarikan pelancongan yang hebat dan perlu dipromosikan secara bersama untuk memajukan sektor pelancongan.
“Pada perjumpaan dan perbincangan fasa pertama membabitkan empat Exco Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis, pengarah pelancongan diberi tanggungjawab untuk meneruskan perbincangan,” katanya. – Suara Timur