KOTA KINABALU: Kabinet baharu Sabah dibentuk hari ini selepas semua 10 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mengangkat sumpah jawatan di Istana Seri Kinabalu, di sini petang tadi.
Majlis angkat sumpah membabitkan tiga jawatan timbalan ketua menteri dan tujuh menteri itu berlangsung di hadapan Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman, dengan turut disaksikan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

Turut menyaksikan majlis angkat sumpah membabitkan tujuh ADUN Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan masing-masing satu mewakili Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) itu ialah Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Azizah Nawawi.
Berikut senarai Kabinet baharu Sabah:
TIMBALAN KETUA MENTERI
1. Timbalan Ketua Menteri I: Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam (GRS-Kundasang) – Kerja Raya dan Utiliti
2. Timbalan Ketua Menteri II: Datuk Seri Masidi Manjun (GRS-Karanaan) – Kewangan
3. Timbalan Ketua Menteri III: Datuk Ewon Benedick (UPKO–Kadamaian) – Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan
MENTERI:
1. Datuk Arifin Arif (GRS-Membakut) – Kerajaan Tempatan dan Perumahan
2. Datuk Jamawi Jaafar (PH-Melalap) – Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan
3. Datuk Rubin Balang (GRS-Kemabong) – Pembangunan Luar Bandar
4. Datuk James Ratib (GRS-Sugut) – Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi
5. Datuk Jafry Ariffin (BN-Sukau) – Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar
6. Datuk Julita Mojungki (GRS-Matunggong) – Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Komuniti
7. Datuk Nizam Titingan (GRS-Apas) – Pembangunan Belia, Sukan dan Ekonomi Kreatif
Pembentukan Kabinet dijangka memperkukuh kesinambungan dasar kerajaan negeri, selain memberi tumpuan kepada agenda pembangunan infrastruktur, pengukuhan ekonomi, kebajikan rakyat serta reformasi penyampaian perkhidmatan awam.
Sementara itu, barisan Pembantu Menteri bagi setiap kementerian dijangka diumumkan esok diikuti ADUN dilantik selepas proses penyelarasan portfolio dimuktamadkan oleh Pejabat Ketua Menteri.
Awal pagi Ahad lalu, Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor, mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri untuk penggal kedua di hadapan Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa Aman.
Pada PRN Sabah ke-17, GRS memperoleh 29 daripada 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dipertandingkan, Parti Warisan (25), Barisan Nasional (enam), BEBAS (lima), Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) (tiga), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) (dua), manakala Perikatan Nasional (PN), Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) dan Pakatan Harapan (PH) masing-masing menang satu kerusi. – Berita Harian
