Politik

DUN Sabah bubar secara rasmi hari ini

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor sebentar tadi mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, sekali gus membuka laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17, berkuat kuasa hari ini.

Pilihan raya kali ini akan menyaksikan pertandingan bagi semua 73 kerusi DUN.

Dalam PRN mengejut 2020, gabungan longgar antara Perikatan Nasional (PN) yang diketuai Datuk Seri Hajiji Noor, Barisan Nasional (BN) diketuai Datuk Seri Bung Moktar Radin, dan Parti Bersatu Sabah (PBS) berjaya menumbangkan kerajaan negeri Warisan–Pakatan Harapan (PH) yang dipimpin Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Ketika itu, Warisan menang 29 kerusi, PN (17), BN (14), PBS (7), calon bebas (3), PKR (2) dan Upko (1).

Gabungan PN, BN dan PBS — yang kemudiannya membentuk Gabungan Rakyat Sabah (GRS) — memperoleh 38 kerusi, menewaskan blok Warisan–PH yang meraih 32 kerusi.

GRS didaftarkan secara rasmi sebagai sebuah gabungan politik pada awal 2022.

Susulan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada November 2022, Hajiji bersama semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BERSATU keluar parti untuk menubuhkan Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) selepas pembentukan kerajaan perpaduan di peringkat persekutuan.

Pada Januari 2023, Bung Moktar mengumumkan penarikan sokongan Sabah BN–UMNO terhadap pentadbiran Hajiji, sebelum Sabah Pakatan Harapan tampil membantu mengekalkan kerajaan negeri pimpinan GRS. – Berita Harian

Related Posts