Politik

‘Pergilah… Tapi Jangan Hina Parti Yang Pernah Angkat Darjat Kamu’

KUALA LUMPUR – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Kapar Mohd Affifi Mohd Aris berkata tiada sesiapa boleh menghalang untuk mana-mana individu termasuk bekas pimpinan meninggalkan UMNO.

Tetapi bidasnya, adalah tidak wajar mereka bertindak memperlekehkan atau memburukkan parti inilah yang pernah mengangkat darjat dan kedudukan mereka.

“Kamu nak lompat ke. Kamu nak tinggalkan perjuangan ke. Kamu nak berhenti keahlian ke. Kamu nak daftar parti lain ke. Pergilah, tiada siapa menghalang.

“Saya ucapkan berbanyak terima kasih di atas segala jasa yang pernah ditaburkan kepada parti ini. Tetapi janganlah perpindahan keluar kamu ini dengan cara memperlekehkan, memperkecilkan, menghina mahupun memburukkan parti yang pernah mengangkat darjat kamu,” catatnya dalam satu hantaran di Facebook.

Justeru, Affifi menyeru semua pendukung parti yang setia agar terus rapatkan saf dan fokus kepada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16) kelak.

“Kepada rakan rakan yang masih setia, marilah kita rapatkan saf, cukuplah rasa diri terpaling betul dalam semua keadaan. Hargai di antara satu sama lain, hentikan segala naratif yang mengeruhkan keadaan.

“Sekarang, kita perlu bergerak untuk memastikan PRU-16 yang akan datang pengundi masih dan mahu memilih Dacing sebagai parti yang membela dan memajukan nasib mereka. Yakinkan. Eratkan. Sahabatkan Pemuda!” tegasnya. – UMNO Online

Related Posts