KUALA LUMPUR: PAS secara rasmi menghentikan kerjasama politik dengan BERSATU berkuat kuasa serta-merta.
Perkara itu diputuskan mesyuarat khas Jawatankuasa Kerja Pas Pusat malam ini.
Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang dalam kenyataan, berkata parti memperakukan keputusan Mesyuarat Majlis Syura Ulamak pada 2 Jun lalu berhubung pertimbangan dasar, hukum dan maslahah kerjasama politik PAS, atas prinsip penyatuan ummah.
“Mesyuarat memperakukan keputusan PAS meneroka suatu bentuk persefahaman politik dan kerjasama pilihan raya demi penyatuan ummah, bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16.
“(Juga) Menerima hasrat tokoh-tokoh akademik, profesional, pemimpin politik dan aktivis masyarakat untuk menyertai PAS.
“(Selain itu mesyuarat) Meneliti kedudukan dan hala tuju kerjasama politik PAS-BERSATU berdasarkan laporan, kajian dan penilaian semasa,” kata beliau.- Berita Harian
