Home PolitikPas sahkan akan terajui PN

Pas sahkan akan terajui PN

oleh suara timur

MARANG: Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengesahkan parti itu akan menerajui Perikatan Nasional (PN) susulan peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai pengerusi berkuat kuasa semalam.

Beliau berkata mesyuarat mengenai calon pengerusi PN baharu akan berlangsung minggu depan yang dijangka turut dihadiri pemimpin Bersatu.

“Mesyuarat itu nanti akan bersama-sama Bersatu. (Pemimpin) yang letak jawatan itu atas dia (sama ada) hendak datang (mesyuarat) atau tidak,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan kuliah duha di Masjid Rusila, di sini, hari ini.

Abdul Hadi berkata Pas mempunyai ramai calon dalam kalangan agamawan mahupun teknokrat namun Ahli Parlimen Marang itu masih menutup mulut mengenai identiti calon yang akan dikemukakan.

banner

Ditanya kemungkinan beliau akan menerajui PN seperti cadangan beberapa pihak, Abdul Hadi sekadar menjawab dirinya dalam keuzuran.

“Kita dalam keadaan keuzuran, tetapi calon yang akan dipilih untuk memimpin PN akan dibincangkan pada mesyuarat minggu depan, yang pasti pengerusi gabungan itu adalah kalangan pemimpin Pas,” katanya.

Dalam pada itu, Abdul Hadi berkata, hubungan antara Pas dan Bersatu masih baik walaupun Muhyiddin dan beberapa pengerusi PN di beberapa negeri mengumumkan meletak jawatan.

Abdul Hadi berkata, hubungan antara Pas dan Bersatumasih baik walaupun Muhyiddin dan beberapa pengerusi PN di beberapa negeri mengumumkan meletak jawatan.

Selasa lalu, Muhyiddin secara rasmi mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Pengerusi PN berkuat kuasa semalam – 1 Januari 2026, selepas lima tahun menerajui gabungan itu, susulan krisis politik di Perlis.

Susulan tindakan beliau, empat pemimpin kanan PN turut mengumumkan peletakan jawatan mereka, termasuk Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, yang juga Pengerusi PN Selangor.

Selain itu, Pengerusi PN Negeri Sembilan, Mohamad Hanifah Abu Baker; Pengerusi PN Johor, Dr Sahruddin Jamal dan Pengerusi PN Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu. – Berita Harian

Tinggalkan komen