KUALA LUMPUR: Wanita UMNO Malaysia hari ini menyatakan rasa syukur atas pengesahan kewujudan Titah Addendum oleh Peguam Negara baru-baru ini, yang memperakui arahan tahanan rumah terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak.
Menerusi satu kenyataan rasmi, Ketua Wanita UMNO, Datuk Dr. Noraini Ahmad, merafak sembah dan memohon ihsan daripada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong agar titah berkenaan dapat dilaksanakan sepenuhnya mengikut kuasa mutlak Tuanku di bawah Perkara 42(1) Perlembagaan Persekutuan.
“Wanita UMNO berharap dengan kebijaksanaan dan rahmat Tuanku, Dato’ Sri Mohd Najib akan diberikan keringanan hukuman yang telah lama tertunda, demi memenuhi prinsip keadilan dan kemanusiaan,” ujarnya.
Beliau turut menegaskan kesetiaan tidak berbelah bahagi Wanita UMNO kepada institusi Raja Berperlembagaan serta komitmen untuk mempertahankan kedaulatan undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan.
“Daulat Tuanku!” tambahnya mengakhiri kenyataan tersebut.
Sebelum ini, isu Titah Addendum menjadi perhatian selepas dakwaan mengenai arahan tahanan rumah terhadap Najib yang sebelum ini sedang menjalani hukuman penjara, mula tersebar.
Pengesahan oleh pihak Peguam Negara memberikan perkembangan baharu dalam isu berkenaan. – UMNO Online