LUMUT: Barisan Nasional (BN) menyifatkan Perikatan Nasional (PN) mengalami sindrom penafian apabila mendakwa kegagalan BN mencapai sasaran 18,000 undi dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning sebagai kejayaan kepada pihak mereka.
Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, berkata sasaran 18,000 undi itu ditetapkan berdasarkan jangkaan kadar keluar mengundi yang lebih tinggi iaitu sekitar 75 peratus, sedangkan peratusan keluar mengundi hanya sekitar 58 peratus.
Sehubungan itu, beliau meminta PN supaya menerima hakikat kekalahan dan tidak membuat pelbagai tuduhan yang bertujuan menggambarkan kononnya mereka berjaya mengurangkan jumlah undi calon BN yang mewakili Kerajaan Perpaduan.
“Bagi saya mudah sahaja, kalau hari ini saudara tidak menang, terima sahaja hakikat bahawa saudara memang tidak menang. Tidak perlu membuat pelbagai tuduhan seolah-olah berada dalam sindrom penafian.
“Tak perlulah jadikan perkara itu sebagai alasan kononnya mereka berjaya mengurangkan jumlah undi. Bagi saya, itu hanyalah alasan, sebagaimana istilah yang sering digunakan ‘koyak’, bagi meneruskan sindrom penafian mereka,” katanya.
Zambry berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penutupan Program UTM TechnoXplorer 2025 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ahmad Boestamam, Sitiawan, hari ini.
Zambry berkata sasaran 18,000 undi itu dibuat berdasarkan peratusan keluar mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), iaitu 74.8 peratus, serta membabitkan gabungan undi antara BN dan Pakatan Harapan (PH).
Katanya, peratusan keluar mengundi yang rendah dalam PRK DUN Ayer Kuning adalah antara faktor yang menyebabkan bilangan undi yang diperoleh calon BN tidak mencapai angka sasaran.
“Kita sedia maklum dalam mana-mana PRK sekalipun termasuk di Ayer Kuning, lazimnya peratusan keluar mengundi memang lebih rendah. Seperti semalam (Sabtu), hanya sekitar 58 peratus yang keluar mengundi, jadi sudah tentu wujud perbezaan.
“Bagi saya, tidak perlulah mereka menjadikan hal itu sebagai alasan kononnya mereka berjaya mengurangkan jumlah undi BN,” katanya.
Calon BN, Dr Mohamad Yusri Bakir, 54, menang dengan majoriti 5,006 undi selepas memperoleh 11,065 undi keseluruhan.
Beliau menewaskan calon PN, Abdul Muhaimin Malek yang memperoleh 6,059 undi dan calon Parti Sosialis Malaysia (PSM), Bawani KS yang mendapat 1,106 undi. – Berita Harian