KINABATANGAN: Barisan Nasional (BN) mengekalkan kerusi Parlimen Kinabatangan dan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) yang berlangsung pada Sabtu.
Bagi Parlimen Kinabatangan, Mohd. Kurniawan Naim Moktar, 32, menang dengan majoriti 14,214 undi selepas memperoleh 19,852 undi menewaskan Datuk Saddi Abdul Rahman (Warisan) yang memperoleh 5,638 undi dan Goldam H Salangah (Bebas) pula 946 undi.
Kemenangan itu meneruskan legasi Allahyarham bapanya, Datuk Seri Bung Moktar Radin yang meninggal dunia pada 5 Disember 2025.
Kinabatangan terus kekal sebagai kubu kuat BN dengan gabungan itu memenangi kerusi berkenaan selama enam penggal berturut-turut sejak 1999.
Sementara itu di DUN Lamag, Mohd. Ismail Ayob, 45, memenangi pertandingan satu lawan satu dengan majoriti 5,681 undi selepas meraih 7,269 undi mengatasi calon Parti Warisan, Mazliwati Abdul Malek yang memperoleh 1,588 undi.
Keputusan rasmi diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya Kecil Kinabatangan, Eddy Syaizul Rizam Abdullah di pusat penjumlahan rasmi di Dewan Sri Lamag dan disaksikan oleh Timbalan Pengerusi BN Sabah merangkap Ketua UMNO Sabah, Datuk Jafri Arifin. – Kosmo
BN kekal pertahan kerusi Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag
51
