KUALA LUMPUR: Pengerusi baharu Perikatan Nasional (PN) dijangka dimuktamadkan bulan ini, kata Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.
Bercakap kepada BH, Tuan Ibrahim berkata perjumpaan antara kepemimpinan PAS dan BERSATU hari ini bertujuan memperkasakan PN selain mencari pendekatan terbaik merangka strategi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU16).
“Kita melihat keseluruhan struktur PN bagi memantapkan lagi asas ini… Insya-Allah (pengumuman pengerusi baharu) dalam bulan ini,” katanya.
Hari ini kepemimpinan tertinggi PAS diketuai Tan Sri Abdul Hadi Awang, manakala BERSATU diketuai Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengadakan pertemuan.
Perkara itu dikongsikan Muhyiddin yang juga bekas Pengerusi PN menerusi hantaran di Facebook beliau.
“Alhamdulillah. Kami berbincang dan bersepakat untuk mengukuhkan PN,” tulis Muhyiddin ringkas.
Dalam gambar yang dikongsikan Muhyiddin, selain Tuan Ibrahim, turut hadir Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan bekas Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Sebelum ini, Abdul Hadi dalam satu kenyataan menggesa PN mengadakan mesyuarat tergempar Majlis Tertinggi (MT), selaras Fasal 8.3(l)(b) perlembagaan gabungan itu.
Dalam surat bertarikh 10 Januari lalu, Abdul Hadi menggesa perkara itu yang antaranya bagi menerima dan mengesahkan peletakan jawatan Muhyiddin berkuat kuasa 1 Januari lalu.
Katanya, gesaan supaya MT PN segera bermesyuarat itu dibuat demi kelangsungan gabungan itu, selain melantik Pengerusi baharu, menggantikan Muhyiddin yang juga Presiden BERSATU merangkap Ahli Parlimen Pagoh.
Perselisihan hubungan antara PAS dan BERSATU semakin ketara selepas berlaku pergolakan politik di Perlis, menyaksikan peletakan jawatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sanglang dari PAS, Mohd Shukri Ramli sebagai Menteri Besar. – Berita Harian
