KUALA LUMPUR: Sekretariat Lawan Dua Darjat memandang serius pembudayaan layanan dua darjat yang didakwa semakin berleluasa dalam sistem pentadbiran, perundangan dan ekonomi negara sehingga menjejaskan keyakinan rakyat terhadap prinsip tadbir urus yang telus dan adil.
Menurut sekretariat itu, asas kepada tadbir urus berintegriti semakin dipinggirkan apabila wujud layanan berbeza yang didakwa telah menjadi satu budaya tidak bertulis dalam kalangan elit politik dan golongan mahakaya, sekali gus menekan golongan pekerja serta rakyat kebiasaan.
“Malah, tidak keterlaluan untuk menyatakan bahawa layanan dua darjat ini telah dibiasakan dan dijadikan ‘unwritten rule’ oleh elit politik dan golongan mahakaya sebagai satu mekanisme untuk mengekalkan kuasa serta kepentingan mereka,” menurut kenyataan itu hari ini.
Sekretariat berkenaan turut mendakwa prinsip keadilan yang sepatutnya menjadi teras tadbir urus negara kini dilihat bersifat memilih-milih, berat sebelah dan memihak kepada elit politik serta golongan berada, sehingga mengheret Malaysia ke arah sebuah negara yang tidak saksama untuk semua rakyat.
Mengulas lanjut, sekretariat itu menegaskan bahawa pembudayaan layanan dua darjat dapat dilihat dalam pelbagai isu termasuk kewarganegaraan, apabila individu yang lahir dan membesar di Malaysia didakwa dinafikan hak mendapatkan kad pengenalan dan kewarganegaraan, sedangkan terdapat warga asing tertentu diberikan laluan pantas untuk memperoleh status sama.
Selain itu, ia turut membangkitkan isu pengguguran pendakwaan terhadap elit politik melalui keputusan DNAA dan NFA berbanding tindakan tegas terhadap rakyat biasa yang terpaksa mencuri makanan demi kelangsungan hidup.
Isu sistem pencen juga menjadi perhatian apabila Ahli Parlimen dan Menteri terus menikmati pencen walaupun hanya berkhidmat sepenggal, sedangkan penjawat awam perlu berkhidmat puluhan tahun, malah berdepan perubahan kepada sistem caruman simpanan persaraan.
Sekretariat itu turut menegaskan jurang gaji antara majikan mahakaya dan pekerja di Malaysia semakin melebar, memaksa sebahagian pekerja mengambil dua hingga tiga pekerjaan untuk meneruskan kehidupan, sementara kekayaan golongan elit terus meningkat.
Dalam aspek alam sekitar, sekretariat berkenaan mendakwa kepentingan ekonomi dan politik sering diutamakan sehingga sanggup mengubah status hutan simpan bagi meluluskan aktiviti pembalakan, sedangkan rakyat terus diseru mengamalkan gaya hidup mesra alam.
Isu ketidaksaksamaan dalam perkhidmatan kesihatan awam juga dibangkitkan apabila akses dan kualiti rawatan didakwa berbeza berdasarkan kemampuan kewangan, sekali gus mewujudkan jurang layanan antara golongan berada dan rakyat kebiasaan.
Sehubungan itu, Sekretariat Lawan Dua Darjat menegaskan pembudayaan layanan dua darjat tidak boleh terus berakar dalam sistem dan pemikiran pemimpin negara, sebaliknya institusi sedia ada perlu berfungsi secara telus, adil dan berpaksikan kepentingan rakyat secara menyeluruh.
Sebagai langkah ke hadapan, sekretariat itu mengemukakan tiga tuntutan utama iaitu reformasi institusi dan sistem secara menyeluruh bagi memansuhkan ketidakadilan struktural, seruan kepada rakyat agar tidak menyokong mana-mana pihak yang menyuburkan budaya dua darjat serta tindakan tegas terhadap elit dan golongan mahakaya yang didakwa mengamalkan penindasan moden terhadap rakyat dan pekerja.
“Keadilan tidak boleh bersifat memilih-milih. Masa depan negara yang bermaruah hanya dapat dibina apabila prinsip kesamarataan ditegakkan tanpa pengecualian,” menurut kenyataan itu. – Suara Timur
