Oleh MUKHATAR A. RAHMAN
KEMAMAN: Dua pemancing berdepan detik mencemaskan apabila hanyut hampir 11 jam di perairan Kemaman selepas bot yang dinaiki mengalami kerosakan enjin, sebelum berjaya diselamatkan awal pagi tadi.
Pengarah Zon Maritim Kemaman, Komander Maritim Abdul Halim Hamzah berkata, pihaknya menerima maklumat kecemasan kira-kira pukul 12.30 tengah malam sebelum operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) segera digerakkan.
“Aset Maritim Malaysia telah diatur gerak ke lokasi pada pukul 1.18 pagi dan hasil pencarian, kedua-dua mangsa bersama bot berjaya ditemui serta diselamatkan kira-kira pukul 3.00 pagi,” katanya.
Mangsa dikenali sebagai Abdul Hafiz Imran Abd Latif, 39, dari Dungun dan Ahmad Arif Tajudin Rosli, 29, dari Pengkalan Nelayan Paka.
Menurutnya, kedua-dua mangsa dilaporkan keluar ke laut untuk aktiviti memancing sebelum bot dinaiki mengalami kerosakan pada kipas enjin kira-kira pukul 4.00 petang semalam.
“Keadaan itu menyebabkan bot tidak dapat bergerak dan hanyut dibawa arus laut,” katanya.
Beliau berkata, mangsa hanya berjaya mendapatkan liputan talian telefon sekitar pukul 9.00 malam sebelum menghubungi ahli keluarga bagi memaklumkan situasi mereka.
Susulan itu, ahli keluarga mangsa menghubungi talian kecemasan 999 bagi mendapatkan bantuan, sekali gus mencetuskan operasi CARILAMAT oleh Maritim Malaysia.
Abdul Halim berkata, operasi pencarian mengambil sedikit masa berikutan kedudukan bot mangsa telah berubah dari lokasi asal akibat faktor arus laut.
Bagaimanapun, kedua-dua mangsa ditemui dalam keadaan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan komuniti nelayan dan pemancing supaya sentiasa memastikan bot berada dalam keadaan baik, membawa peralatan keselamatan mencukupi serta memaklumkan pergerakan kepada ahli keluarga sebelum keluar ke laut bagi mengelakkan kejadian tidak diingini. – Suara Timur
