Negeri

SMK Kijal hargai pencapaian pelajar

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN: Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kijal di sini menghargai pencapaian pelajar dalam bidang yang diceburi sama ada kokurikulum, sahsiah mahupun akademik.

Pengetuanya, Mohd Nordin Mohd Abdul Majid berkata, penghargaan yang diberikan diharapkan itu mampu memberi suntikan semangat kepada semua pelajar.

Menurutnya, penganjuran majlis penganugerahan seumpama ini bukan sekadar untuk meraikan kejayaan pelajar tetapi juga sebagai satu pengiktirafan terhadap usaha dan kerja keras mereka.

“Kejayaan yang diperoleh hari ini adalah bukti bahawa setiap pelajar di sini mempunyai potensi yang luar biasa dan dengan bimbingan yang tepat serta sokongan yang padu daripada ibu bapa dan guru, mereka mampu mencapai apa sahaja yang mereka impikan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena Majlis Anugerah Kecemerlangan Tingkatan 5 2024 SMK Kijal di Dewan Unggul SMK Kijal anjuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Kijal dengan kerjasama SMK Kijal, hari ini.

PELAJAR SMK Kijal, Siti Nur Atiqah Abas (tengah) mendapat keputusan 9A Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 SMK bergambar bersama dua orang kakaknya selepas Majlis Anugerah Kecemerlangan Tingkatan 5 2024 SMK Kijal, hari ini.  – SUARA TIMUR/ MUKHATAR A. RAHMAN

Seramai 26 orang pelajar mendapat A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 dan dua daripadanya mendapat 9A, 3 orang 8A, 7 orang 7A, 6 orang 6A dan 5A 8 orang.

Majlis ini bukan sahaja bertujuan untuk menberi penghargaan kepada kejayaan akademik, tetapi juga sebagai motivasi kepada seluruh warga sekolah agar terus berusaha mencapai kecermelangan dalam segala aspek.

Pada majlis yang sama, Mohd Nordin mengumumkan SMK Kijal bakal mendapat bangunan dewan baharu yang bakal dibina pada tahun hadapan bagi menggantikan bangunan yang ada sekarang.

Sementara itu, Pengerusi PIBG SMK Kijal, Abdul Ghafar Mohamed berkata, selain mengiktiraf pelajar pelajar yang cemerlang ia juga dapat menyuntik pelajar lain untuk mengikut jejak langkah pelajar cemerlang.

Tambahnya, ia juga memberi dorongan dan motivasi untuk pelajar melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

“Pada majlis tersebut pelajar yang mendapat straight A menerima wang tunai RM1,000, sijil penghargaan dan baucer penginapan di Swiss Garden Hotel, RM380 dan bgi mereka yang mendapat 8A hingga 5A mendapat RM800 hingga RM300 seorang,’ katanya ketika ditemui Suara Timur.

Sementara itu, pelajar yang mendapat 9A, Siti Nur Atiqah Abas melahirkan rasa bersyukur kerana memperolehi keputusan yang cemerlang dalam SPM 2024.

Anak bongsu dari empat beradik yang menetap di Kampung Telok Kalong berkata, kejayaan ini bukan hanya untuk dirinya sahaja, malah ia turut dikongsi dengan keluarga, rakan rakan dan juga tenaga pengajar SMK Kijal.

Terima kasih kepada semua yang terlibat dengan kejayaan ini. Tanpa sokongan dan tunjukajar semua, tak mungkin saya mencapai kejayaan seorang diri.

Siti Nur Atiqah yang bercita-cita menjadi seorang pensyarah yang berjaya turut berkongsi cara bagaimana beliua mengulangkaji pelajaran.

“Yang paling utama kita mestilah fokus di dalam kelas ketika cikgu mengajar, menjaga hubungan dengan guru supaya ilmu yang dicurahkan mendapat keberkatan. Seterusnya, mengulangkaji pelajaran yang diajarkan oleh guru ketika berada di rumah.

“Saya ingin menjadi seorang anak yang berbakti kepada keluarga agar dapat membalas jasa mereka yang amat bernilai. Walaupun keluarga saya tidaklah senang yang hanya mempunyai pendapatan RM500, tetapi mampu membimbing saya menjadi seorang insan yang berjaya.

“Pesanan saya untuk pelajar yang akan menduduki SPM, berusahalah bersungguh sungguh agar dapat membalas jasa guru-guru dan ibu bapa. Bersusah susah dahulu, bersenang senang kemudian,” ujarnya. – Suara Timur

Related Posts