HULU TERENGGANU: Percutian sebuah keluarga berakhir tragedi apabila seorang wanita warga emas meninggal dunia selepas bot fiber dinaiki bersama ahli keluarga terbalik akibat terlanggar tunggul kayu dalam kejadian di berhampiran Gua Bewah, Tasik Kenyir di sini pada Sabtu.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu, mangsa, Wan Esah Wan Daud, 63, yang berasal dari Felda Chiku 02, Gua Musang, Kelantan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan selepas dibawa ke daratan.
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Superintenden Sharudin Abdul Wahab berkata, pihak polis menerima makluman berhubung kejadian itu sekitar jam 6.45 petang.
Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa bersama 28 ahli keluarganya telah menaiki sebuah rumah bot (houseboat) di Tasik Kenyir menuju ke Taman Negara bermula jam 11 pagi.
”Setibanya di kawasan berkenaan kira-kira jam 4 petang, mangsa bersama tiga yang lain termasuk anak sulung, adik perempuannya dan seorang pemandu bot berusia 21 tahun telah menaiki sebuah bot fiber untuk bersiar-siar.
“Malangnya, selepas kira-kira 30 minit bersiar-siar, bot fiber tersebut dipercayai terlanggar tunggul kayu lalu terbalik hingga menyebabkan mangsa terjatuh ke dalam air dan terlingkup di bawah bot,” katanya ketika dihubungi di sini pada Ahad.
Sharudin berkata, mangsa berjaya diselamatkan oleh ahli keluarga dan dipindahkan ke sebuah lagi bot fiber sebelum dibawa kembali ke bot rumah.
”Semasa dalam perjalanan ke bot rumah, mangsa mengadu tidak larat kerana tertelan banyak air.
Tambah beliau, mangsa kemudiannya dibawa ke daratan dengan bantuan bot Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dalam perjalanan yang mengambil masa kira-kira satu jam.
”Mangsa disahkan meninggal dunia pada jam 6.45 petang oleh Penolong Pegawai Perubatan dari Klinik Kesihatan Tengkawang.
”Siasatan lanjut mendapati tiada sebarang unsur jenayah dikesan dan mangsa dipercayai mempunyai sejarah penyakit paru-paru, kencing manis serta darah tinggi,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai agar sentiasa mengutamakan langkah keselamatan dan mematuhi arahan ditetapkan semasa melakukan aktiviti rekreasi air terutama di kawasan tasik dan sungai. – Sinar
