IPOH: Perak muncul sebagai negeri paling banyak dikunjungi pelancong domestik pada tahun lepas dengan mencatatkan 10.2 juta kunjungan, mengatasi negeri-negeri lain di Malaysia.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor negeri, Loh Sze Yee berkata, statistik itu berdasarkan laporan Survei Pelancongan Domestik 2024 yang diterbitkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pada 19 Jun lepas.
Menurut beliau, Perak mencatatkan peningkatan ketara dalam ketibaan pelancong sebanyak 36.1 peratus berbanding 7.5 juta pada tahun 2023.
“Negeri Perak mencatatkan jumlah pelancong domestik paling tinggi, iaitu sepanjang tahun lepas, sebanyak 10.2 juta orang, diikuti Selangor dan Pahang, masing-masing mencatatkan 9.6 juta dan 9.5 juta,” jelasnya dalam satu kenyataan.

Loh turut mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua pihak yang terlibat dalam memajukan industri pelancongan negeri.
“Saya ucapkan syabas dan tahniah kepada semua pemain industri termasuk pihak kerajaan, PBT (pihak berkuasa tempatan), pejabat daerah dan tanah (PDT), pertubuhan bukan kerajaan (NGO), serta terutamanya peniaga dan rakyat biasa yang telah berusaha menjadikan Perak sebagai destinasi pelancongan utama,” katanya.
Antara lima destinasi utama yang menjadi tumpuan pelancong ialah Teluk Batik, Lumut Waterfront, Pasar Malam Ipoh, Taman Rekreasi Gunung Lang, dan Pulau Pangkor. Manakala, lima daerah yang paling banyak dikunjungi ialah Kinta, Larut dan Matang, Manjung, Kuala Kangsar, dan Batang Padang.
Loh menegaskan bahawa kejayaan ini turut disumbangkan oleh keberkesanan kempen Tahun Melawat Perak 2024, serta kerjasama erat antara pihak berkuasa tempatan (PBT), pejabat daerah dan tanah (PDT), kerajaan negeri, dan kerajaan pusat.
Dengan pencapaian ini, Perak terus mengukuhkan kedudukannya sebagai salah satu destinasi pelancongan terunggul di Malaysia.