Oleh MUKHATAR A. RAHMAN
KEMAMAN : Sesi pembelajaran di Sekolah Kebangsaan (SK) Seberang Tayor, di sini, bertukar kecoh apabila dua ekor beruang berkeliaran berhampiran sekolah itu, pagi semalam.
Kelibat dua ekor beruang yang berkeliaran di tepi pagar dan kawasan kebun sekolah dikesan warga sekolah itu kira-kira pukul 8.30 pagi.
Tukang kebun sekolah, Azmi Yaakob, 52, berkata, pada awalnya beruang itu hanya berkeliaran di tepi pagar sekolah, berhampiran padang sekolah.
“Pagi semalam kebetulan murid-murid ada latihan sukan di padang sekolah, bila ada kelibat beruang, guru-guru meminta murid-murid bersurai seketika dan masuk ke kelas masing-masing untuk keselamatan mereka.
“Beruang itu agak lama berkeliaran di sekitar kawasan sekolah, kira-kira pukul 11 pagi, kedua-dua beruang itu kemudiannya memanjat pagar sekolah dan masuk ke kawasan kebun di belakang sekolah untuk mencuri buah durian sebelum berlalu pergi ke kawasan belukar berhampiran,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Azmi berkata, dia yang pertama kali melihat beruang turut merasa panik dan takut kerana saiz beruang yang agak besar, setinggi paras paha orang dewasa.
“Kita tak tahu saiz sebenar beruang itu, tapi dia merangkak pun, saiznya paras paha dewasa, kalau dia bangun, mungkin lagi tinggi,” katanya.
Sementara itu Pengarah Perhilitan Terengganu, Loo Kean Seong berkata, pihaknya telah memasang dua perangkap di kawasan kampung tersebut sejak hujung Mei lalu.
“Kita juga sentiasa mengadakan kawalan dan pemantauan berterusan bagi menangkap beruang tersebut,” katanya. – Suara Timur